Saturday, March 10, 2018

Bekas Askar memerlukan wang beli mesin oksigen

Perlu wang beli mesin oksigen
YAN - Seorang bekas askar memerlukan RM3,200 bagi membolehkannya membeli mesin oksigen.

Fadzil Abu Yazis, 54, berkata, dia perlu bergantung kepada mesin oksigen setiap hari bagi membolehkan dia bernafas dengan baik.

“Doktor kata injap paru-paru saya bocor jadi saya tak boleh bernafas seperti orang normal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Boi, Yan.


Katanya, dahulu setiap hari dia akan ke hospital bagi mendapatkan oksigen tanpa mengira waktu.

“Kadang saya agak sukar bernafas pada waktu tengah malam dan menyebabkan saya terpaksa cari kereta sewa untuk ke hospital.

“Untuk ke hospital saya perlu sewa kereta dengan kadar tambang RM10 pi dan balik,” katanya.

Namun begitu, simpati dengan nasib Fadzil, pihak hospital memberikan mesin oksigen kepadanya untuk dibawa pulang ke rumah.



“Depa bagi mesin tu November lalu tetapi depa nak ambil semula mesin ni sebab ni mesin wakaf sahaja.

“Depa kata nak ambil Februari baru ni tapi saya minta tangguh sat sementara saya cuba untuk beli mesin lain.

“Saya ada bawa surat pi JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) nak minta mesin ni tapi belum ada respons,” katanya.

Fadzil yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana kudung sebelah kaki akibat kencing manis turut menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 sebulan.

“Hanya RM300 tu la yang saya guna untuk tambang teksi pi hospital bagi mendapatkan rawatan lain,” katanya.

Menurut Fadzil dia juga terpaksa menjalani rawatan dialisis berikutan turut mengalami masalah buah pinggang.

Sejak kakinya dipotong pada 2013, Fadzil tidak lagi dapat bergerak dengan sempurna dan hanya mampu berkerusi roda.

Fadzil berkata, isterinya juga turut menghidap penyakit darah tinggi namun tidak serius.

"Kami ada dua anak, tapi depa pun dah kahwin. Anak-anak pun tak dapat nak bantu sangat sebab depa pun hanya cukup-cukup makan sahaja," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0210341000024494 atas nama Fadzil Abu Yaziz.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...