Saturday, March 10, 2018

MB Mat Bashah terkesan kehilangan Sanusi

https://i2.wp.com/amanahdaily.com/wp-content/uploads/2018/03/sanusi-2.jpg?resize=465%2C279
ALOR SETAR - Pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, 75, menyebabkan negara kehilangan seorang negarawan terbilang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Allahyarham banyak berjasa kepada Kedah ketika memegang jawatan Menteri Besar Kedah, malah kepada negara semasa menjadi Menteri Pertanian.

“Ketika memegang jawatan berkenaan, beliau banyak menabur bakti kepada negeri dan negara dengan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Ahmad Bashah berkata sedemikian selepas Majlis Perasmian Pintu Baru Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Long Chuan di Seberang Jalan Putra, hari ini.

Menurutnya, dia turut terkesan dengan kehilangan Allahyarham yang dikenali dengan rapat semasa beliau memegang beberapa jawatan penting dalam negara dan Kedah.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian negarawan itu dan mendoakan ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atasnya.

Bekas Menteri Besar Kedah ketujuh meninggal dunia di rumahnya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...