Wednesday, March 7, 2018

Naik taraf Pekan Rabu Alor Setar siap

 Naik taraf Pekan Rabu siap
ALOR SETAR - Orang awam boleh mengunjungi Kompleks Pekan Rabu di Jalan Sultan Ibrahim, di sini, yang akan beroperasi dalam tempoh terdekat pada bulan ini.

Difahamkan, kerja perpindahan peniaga Kompleks Pekan Rabu bermula pada 25 Februari hingga 14 Mac dan kompleks akan beroperasi semula pada 15 Mac nanti.

Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Ahmad Hulmi Ismail berkata, kerja naik taraf dan pembinaan bangunan baharu kompleks itu telah selesai.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak terlibat antaranya kontraktor, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atas usaha pembinaan semula itu.

“Kini, peniaga Pekan Rabu yang menerima surat arahan berpindah akan masuk ke bangunan empat tingkat itu secara secara berperingkat ke lokasi itu,” katanya.

Menurutnya, pelbagai kemudahan disediakan di bangunan empat tingkat Kompleks Pekan Rabu berkeluasan 9,344 meter persegi dibina dengan kos RM36.9 juta itu.

Antaranya, Kompleks Pekan Rabu memiliki 355 ruang niaga, 24 kedai makan, 203 unit ruang parkir kereta dan 118 parkir motosikal untuk kegunaan orang ramai.

Katanya, kemudahan lain termasuk lif, kipas angin, laluan OKU, ruang pameran, tandas dan surau turut disediakan untuk memudahkan keselesaan peniaga dan pengunjung Kompleks Pekan Rabu.

Beliau berkata, walaupun tampil dengan wajah baharu dengan aneka kemudahan untuk orang ramai, bagaimanapun ia tetap mengekalkan ciri-ciri Melayu.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan aneka jenis produk, termasuk kuih, produk IKS, pakaian tradisional dan kraftangan ditawarkan di kompleks itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...