Sunday, March 4, 2018

Salleh Keruak sepatutnya bela negara bukan individu Jho Low

MALAYSIA DATELINE

Salleh Keruak sepatutnya bela negara bukan individu Jho Low
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas sikap Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak yang katanya begitu bersungguh mahu membela dan melindungi Jho Low.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Salleh Said Keruak yang menafikan menafikan penglibatan Jho Low dalam rampasan kapal layar mewah The Equanimity di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Salleh dilaporkan menyatakan tiada bukti yang menunjukkan ahli perniagaan Jho Low adalah pemilik kapal tersebut dan menganggap ia adalah berita palsu.

“Mengapa bersungguh Datuk Seri Salleh mahu membela dan melindungi Jho Low? Bukankah lebih baik beliau membela negara daripada membela seorang individu seperti Jho Low.

“Beliau patut bersikap profesional dengan tidak melulu menyerang balik semua yang mengkritik PM. Lebih baik beliau serahkan kepada pihak berkuasa Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) membuat siasatan,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Kata Mahfuz, jika betul kapal mewah itu milik Jho Low, maka biarkan dia ditangkap dan didakwa oleh AS dan jika terbukti tidak betul, sila bersihkan nama Malaysia daripada diburukkan oleh skandal melalui 1MDB itu.

Melulu dalam membela Jho Low dalam istilah politik menandakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku atau ibaratnya perangkap sedang mengena mangsa, tambahnya.

“Datuk Seri Salleh mungkin sudah faham bahawa skandal 1MDB telah hampir sampai ke kemuncaknya. Dunia sedang memerhati, manakala media antarabangsa sibuk mencanai isu ini menjadi isu sensasi di muka hadapan.

“PM masih boleh ‘berlari bebas’ dan mengilangkan apa juga jejak daripada dikesan, tetapi hanya bebas di dalam negara.

“Beliau boleh sebut kepada penduduk kampung bahawa ia adalah fitnah, tohmahan liar untuk menjatuhkannya, tetapi negara-negara lain di seluruh dunia telah mengumpulkan pelbagai bukti yang kukuh dan konkrit untuk mengheret pemimpin beliau ke muka pengadilan.

“Tunggulah, sedikit masa lagi kebenaran akan terserlah,” ujar Mahfuz.

Menurut Mahfuz, isunya adalah kapal mewah Equanimity telah dirampas di Bali, Indonesia oleh pasukan berkuasa Indonesia dengan bantuan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).

“Equanimity adalah suspek utama aset milik 1MDB yang diselewengkan dan dibeli dan diselenggarakan dengan harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion).

“Soal siapa pemilik kapal tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa AS dan Indonesia. Tetapi AS dan Indonesia pastinya telah melakukan perancangan rapi sebelum merampas kapal terbabit.

“Jho Low atau pemilik kapal sebenar boleh menyaman Indonesia atau AS jika terbukti mereka memburukkan imejnya manakala kapal tersebut bebas dan bersih daripada skandal terbabit,” kata Mahfuz.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...