Saturday, March 31, 2018
Sokong 'rehatkan' Marcote
KEPUTUSAN Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menamatkan khidmat Ramon Marcote sebagai ketua jurulatih dianggap langkah tepat susulan prestasi kurang memberangsangkan skuad Helang Merah.
Justeru, bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli berharap penyokong tidak mempertikai keputusan itu, sebaliknya menerima dengan hati terbuka demi kebaikan pasukan.
Akmal berkata, jurulatih berasal dari Sepanyol itu sudah diberi peluang yang cukup untuk membuktikan kemampuannya, namun gagal mengangkat prestasi Kedah ke tahap lebih tinggi sebaliknya makin merudum.
“Kedah sudah beraksi dalam tujuh perlawanan secara keseluruhan termasuk dua aksi Piala FA. Mereka kalah empat dan sekarang di tangga ketujuh liga dengan enam mata, satu kedudukan yang tidak menggambarkan pasukan itu sebagai pencabar sebagaimana penyokong harapkan.
“Lebih mengecewakan, mereka sudah kehilangan Piala Sumbangsih dan Piala FA. Ini bukan rekod yang cemerlang bagi seorang jurulatih import, jadi gesaan segelintir penyokong yang masih mahu beliau dikekalkan tidak boleh diterima.
“Keputusan diambil KFA itu memang tepat kerana jika lambat bertindak, keadaan pasukan Kedah mungkin lebih parah yang mana tidak mustahil mereka akan mengakhiri musim ini tanpa sebarang piala,” katanya.
Semalam, Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) yang diterajui Wan Syazwan Wan Fadzelah menganggap tindakan KFA ke atas Marcote sebagai tidak adil, sebaliknya meminta jurulatih itu terus diberi ruang untuk memperbaiki kelemahan pasukan berkenaan.
Sebelum ini, Pengarah ECK Development Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew, selaku penaja utama pasukan itu cuba ‘menyelamatkan’ Marcote melalui kaedah meraih ‘like’ melalui laman Facebook miliknya.
Ginney adalah individu yang berperanan besar membawa Marcote ke Kedah selepas kaedah meraih sokongan penyokong melalui Facebook mencapai sasaran.
“Secara terus terang, saya sebenarnya tidak bersetuju dengan cara dilakukan Ginney itu. Ini bukan rancangan realiti di mana kita boleh memilih jurulatih melalui undian penyokong.
“Saya gembira kerana kali ini KFA mengambil pendirian tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Penyokong perlu menghargai sokongan Ginney sebagai penaja, namun dalam menentukan hala tuju pasukan, biarlah pihak pengurusan yang membuat keputusan kerana mereka lebih arif,” katanya.
Harian Metro.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment