Monday, March 19, 2018

‘Zaman Najib duit habis, benda tak nampak’

ARIF Atan

Tegasnya, situasi tersebut jauh berbeza dengan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini walaupun diakui pembangkang ketika itu banyak mengkritik sejumlah projek mega yang dilaksanakan.

“Masa beliau (Tun Mahathir) memerintah dulu, kita kritik Tun Mahathir. Saya tidak mahu hipokrit. Saya puji tapi saya banyak juga kritik sebab itu dua kali masuk ‘dalam’.

“Kita kritik Proton kerana kereta jadi mahal tapi Proton ada. Orang meniaga Proton ada, vendor ada.

“Kita kritik KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), kenapa tidak buat di Subang. Kenapa buat di Sepang tapi KLIA ada.

“Kita kritik Putrajaya, perlukah bina bangunan baru kenapa tidak guna bangunan yang lama. Ada atau tidak Putrajaya?” soalnya serentak dijawab, “ada” oleh hadirin yang memenuhi lokasi ceramah perdana Jelajah PH di Negeri Sembilan semalam.



Menurut Mohamad yang juga Presiden AMANAH, pentadbiran Najib sebaliknya yang ditemui kapal mewah yang dikaitkan dengan hartawan kontroversi, Jho Low yang terpalit dengan skandal rompakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sekarang zaman Najib, duit habis, benda tidak ada. Duit negara habis, yang ada subang di telinga isterinya, cincin batu merah jambu 110 juta.

“Duit hilang, yang dijumpai kapal lanun Jho Low di Bali.

“Kita kritik kerajaan Tun tapi benda itu ada. Zaman sekarang duit habis benda tak nampak,” bidasnya disambut tepukan gemuruh orang ramai di Betaria Business Centre bersebelahan Centre Point Lama, Seremban.

Sehubungan itu, Mohamad yang mesra dipanggil sebagai Mat Sabu menyeru pengundi supaya menjatuhkan kerajaan Umno-BN pada pilihan raya akan datang.

“Sewajibnya kita bekerja keras menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Najib Razak ini,” tambahnya lagi.

Ceramah Perdana Jelajah PH di Negeri Sembilan dilihat mengulangi trend gelombang sokongan ribuan rakyat untuk mengikuti program melibatkan gabungan empat parti tersebut iaitu Bersatu, AMANAH, PKR dan DAP.

Sambutan sama juga dilihat pada siri jelajah bermula di Alor Gajah Melaka pada 25 Februari lalu diikuti Taiping, Perak (3 Mac) dan Bachok, Kelantan (10 Mac).

Kesemua siri jelajah peringkat negeri itu dihadiri calon Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan calon timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...