Monday, April 2, 2018

Harimau Malaya berpesta gol membelasah Bhutan 7-0

Harimau Malaya
HARIMAU Malaya tidak menghadapi masalah membelasah Bhutan 7-0 dalam perlawanan persahabatan Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menamatkan badi tanpa kemenangan pasukan negara yang kali terakhir menang ke atas Kemboja pada aksi Piala AFF Suzuki 2016.

Dominasi skuad negara jelas kelihatan melalui penguasaan bola selain gawang negara yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat juga hanya sekali teruji sepanjang 90 minit perlawanan.

Malah,penyerang negara Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak membuktikan beliau masih berbisa apabila meledak empat gol membantu kemenangan bergaya skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Malaysia membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi tandukan Wan Zack Wan Haikal selepas menerima hantaran lintang dari Mohamad Zaquan Adha.

Selang lapan minit selepas itu Mohamad Zaquan Adha mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas Wan Zack dijatuhkan oleh pertahanan lawan.

Harimau Malaya terus rancak menyerang dan hampir lagi menambah gol, namun percubaan Muhammad Akram Mahinan pada minit ke-21 sedikit tersasar ke kanan pintu gol lawan.

Ketajaman pasukan negara terus terserlah apabila menambah gol ketiga hasil sepakan penjuru Wan Zack dan disudahkan dengan kemas oleh Muhammad Irfan Zakaria pada minit ke-28.

Mohamad Zaquan Adha sekali lagi merobek gawang Bhutan pada minit ke-36 selepas bijak memperdaya pertahanan lawan sebelum rembatannya gagal ditangkap kemas penjaga gol Kinzang Gyeltshen.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu melengkapkan hatrik tiga minit kemudian apabila mudah meledak gol berpunca salah faham pemain pertahanan Bhutan.

Bagai tiada yang mampu menghentikan pemain berusia 31 tahun itu, beliau terus bernafsu meledak gol apabila menjaringkan gol keenam buat Malaysia pada minit ke-54.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-74 selepas menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan Nagor Amir Noor Mohamed.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...