BERAKHIRNYA SEBUAH MITOS
Oleh : Zulkifli Mohamed
Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya sebahagian daripada sebab musabab yang menjadikan Umno kuat. Itu adalah fakta. Jika tidak, Umno sudah lama digantikan dengan Parti Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaliegh Hamzah.
Selepas Mahathir bersara Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak hanyalah penyambung saki-baki kekuatan Umno yang masih ada selepas dirobek gerakan reformasi.
Dan semenjak tu Umno tidak pernah berjaya untuk memulihkan kembali kekuatan politiknya di persada arus perdana.
Ia sentiasa dilihat tidak lagi relevan, di samping sekadar sebuah parti yang cuma mahu mengekalkan legasi dan warisan budaya politik berpaksikan kepada dasar perkauman, dan melalui elemen integriti, prestasi dan merit.
Bantuan demi bantuan yang acap kali diberikan atas nama “membantu orang Melayu” akhirnya tanpa disedari merosakkan diri orang Melayu sendiri.
Kini terdapat segelintir orang Melayu yang takut untuk bersaing dan berdikari atas kekuatan sendiri.
Minda dan mentaliti mereka - khususnya di pedalaman - sentiasa terikat dengan bayang-bayang Umno yang sebahagian besarnya adalah hasil ciptaan Mahathir juga.
IMPIAN NEGARA SEMPURNA
Ya, Mahathir bukanlah insan yang sempurna - sama seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun politik bukanlah cerita tentang kesempurnaan atau cerita untuk mengejar sebuah negara utopia seperti didambakan Plato, Socrates, Aristoteles, Thomas Moore dan Karl Marx.
“Di Utopia tidak ada perang!” kata Plato, “perang muncul kerana ketamakan; ketamakan muncul karena ada rasa memiliki, dan utopia tidak memiliki itu!"
Lalu, timbullah pertanyaan: “Plato, bagaimana dengan negara utopia menjalankan sistem kenegaraan? Apakah mereka juga mengadakan pilihan raya? Apakah utopia menganut sistem demokrasi?”
“Demokrasi sudah terlalu lama. Mereka menciptakan persaudaraan kolektif yang commune," ucap Plato.
Sejak Plato mengucapkan hal tersebut lebih 2,000 tahun lalu, kita sering melihat demokrasi dan politik adalah untuk “melahirkan sebuah negara yang sempurna”.
Lantas kita pun berperang dan bercakaran sesama sendiri untuk melihat terlaksananya sebuah negara utopia, tetapi ia adalah mimpi!
Kita tidak akan menjumpai sebuah parti politik yang sempurna, atau seorang pemimpin yang sempurna atau sebuah negara yang sempurna seperti selalu ditemui dalam catatan.
Ia dikisahkan sebagai pemimpin yang adil, tidak mengambil hak rakyat, tidak menyusahkan rakyat, hidup dalam kesederhanaan, sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan negaranya.
Tiada sebuah buku sejarah pun yang menulis sesiapa sebagai pemimpin yang sempurna – kecuali Muhammad SAW.
Mencungkil sisi gelap Mahathir tanpa mengambil kira jasa baktinya umpama orang yang hilang kewarasan dan lebih selesa hidup dalam sejarah dan perjuangan silam.
CUMA PERLU BISIK SAJA
Mereka membenci Mahathir dan dosa-dosanya tetapi pada masa sama seolah-olah selesa dan tidak berasa apa-apa terhadap kerosakan yang sedang melanda tanah air kita di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Rakyat menjerit, ahli perniagaan mengeluh, kakitangan awam rasa seperti dicekik dan ekonomi negara tersepit. Namun mereka masih terpekik-pekik tentang sejarah silam Mahathir, tentang Pepsi dan Coca-cola dan tentang memilih antara dua syaitan.
Mereka sendiri tidak menyedari syaitanlah yang bersarang dan menghasut mereka agar kekal dan bersama dengan pemimpin yang merompak, mencuri, menggadaikan negara dan menzalimi rakyatnya.
Mahathir - sekiranya mempunyai kepentingan peribadi - boleh saja tidak meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri dulu. Tetapi beliau memilih bersara.
Dan sekiranya benar-benar mempunyai cita-cita untuk menaikkan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri, ia sebenarnya mampu dilakukan pada ketika beliau masih berkuasa, atau setidak-tidaknya mengambil langkah berdiam diri atas segala kerosakan yang sedang menimpa negara pada hari ini dan hanya perlu berbisik sahaja kepada Najib untuk memberi laluan kepada Mukhriz.
Tiada masalah untuk Najib menunaikannya, tetapi itu bukan pilihan Mahathir.
Lantas, sikapnya yang bersunguh-sungguh untuk menjatuhkan Najib dan pasukannya membuktikan bahawa ada “sesuatu bencana yang amat besar” yang membimbangkan, lalu beliau memilih jalan lain untuk membetulkannya.
Najib telah menyebabkan Mahathir kembali bekerja dan bukan untuk berpolitik. Beliau dipaksa untuk bekerja dalam usianya yang sudah lanjut demi membetulkan kembali arah dan masa hadapan negara dan rakyat.
Dengan menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri mewakili Pakatan Harapan, sekurang-kurangnya 50 peratus masalah utama orang Melayu untuk mencipta perubahan dalam politik tanah air dapat diselesaikan.
Orang Melayu bukannya takut atau tidak mahu berubah, tetapi mereka memerlukan keyakinan yang utuh terhadap pemimpin Melayu yang mampu menjaga dan memimpin mereka.
Mahathir adalah nama yang amat sinonim dengan gelaran ultramelayu, bahkan amat lantang memperjuang masa depan bangsanya.
Beliau adalah keyakinan baru untuk Melayu membuang ketakutan terhadap mitos ancaman kuasa Melayu jika Umno kalah dalam pilihan raya.
Inilah yang digambarkan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dengan kata-katanya: "Mereka yang meletakkan tanggapan, kalau Umno kalah, Lim Kit Siang jadi perdana menteri. Jangan main-main. Politik bukan statistik. Politik adalah persepsi. Persepsi inilah yang ditanam begitu lama menyebabkan orang Melayu dan pegawai kerajaan tidak berani buat perubahan. Bukan setakat orang kampung, para profesor, intelektual Melayu pun ada berfikiran begitu - kalau Umno-BN kalah, Lim Kit Siang akan jadi perdana menteri.”
Dan pencalonan Mahathir melenyapkan mitos usang ini untuk selama-lamanya.
........................................
Berakhirnya sebuah mitos
Zulkifli Mohamed, Naib Pengerusi dan Pengarah Komunikasi AMANAH Pahang, merangkap Ketua Penerangan Pakatan Harapan Pahang
Sumber | Kredit : Malaysiakini
19 Mac 2018, at 11:53 am
Read more at : https://www.malaysiakini.com/letters/416226
No comments:
Post a Comment