Tuesday, April 24, 2018

Mematikan mitos DAP mahu merobek Perlembagaan

 https://dululainsekaranglain.com/wp-content/uploads/2011/10/Perlembagaan-Persekutuan-540x301.jpg
Dalam tulisan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertajuk “Ungkapan kata-kata manis yang meracunkan” (16/4/2018), beliau menulis antara lain, “Saya tercium betapa DAP mendapat bayangan kalangan mereka itu, menjadikannya sangat galak berjuang merobek Perlembagaan Persekutuan, mendesak supaya merendahkan kedudukan Islam dan melemahkan Institusi Raja-Raja Berperlembagaan secara senyap dan sindiran.

“Mereka bergabung dengan golongan anti hadis dan liberal. Kalangan ahli politik yang mencari jalan pintas bergayut bersama, sama ada kalangan umat Islam yang bebal sepak terajang politik atau yang buta politik, dan juga kalangan bukan Islam.”

Tulisan itu telah dikongsi dengan ramai orang terutamanya di kalangan penyokong dan ahli Pas. Malang sekali, tulisan itu bukan sahaja tidak berpaksikan kepada undang-undang malah juga tidak berpaksikan kepada fakta.

Perlembagaan Persekutuan adalah satu dokumen yang mempunyai mekanisme perlindungan yang tersendiri. Perlembagaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya dirobek oleh sesiapa pun melainkan melalui cara yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan itu sendiri.


Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tatacara bagi meminda Perlembagaan. Perkara pertama yang perlu dipenuhi adalah bahawa suatu rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan mestilah mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Bacaan Kedua dan Ketiga.

Perlu ditegaskan bahawa majoriti dua pertiga ini bukan setakat dua pertiga daripada ahli yang hadir bahkan ianya mesti dua pertiga daripada 222 ahli Dewan Rakyat dan 65 ahli Dewan Negara.

Atas alasan ini sahaja hujah Presiden Pas itu boleh dipatahkan kerana jumlah ahli Dewan Rakyat DAP dalam penggal PRU 13 yang lepas hanyalah 36 orang sahaja.

Jika pun berlaku tsunami rakyat Malaysia dalam PRU 14 ini jumlah kerusi yang akan dimenangi DAP tidak mungkin melebihi 50-60 kerusi. Begitu juga DAP tidak mempunyai wakil yang mencukupi dua pertiga di Dewan Negara.

Keduanya, ada perkara tertentu yang tidak boleh dipinda meskipun syarat dua pertiga yang dinyatakan di atas boleh dipenuhi iaitu pindaan yang menyentuh kedaulatan dan kepentingan Raja-Raja seperti pindaan berhubung Majlis Raja-Raja, kekebalan Raja-Raja, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, Perkara 38 Perlembagaan juga menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Ketiganya, ada pindaan yang menyentuh kepentingan negeri Sabah dan Sarawak yang mesti mendapat persetujuan daripada kedua-dua negeri berkenaan.

Justeru, secara undang-undang adalah mustahil DAP boleh merobek Perlembagaan kerana kesukaran untuk meminda Perlembagaan walaupun pindaan itu melibatkan satu abjad atau satu huruf sahaja. Apatah lagi jika didakwa DAP itu ingin meminda peruntukan berkaitan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan orang Melayu.

Dalam keadaan DAP menguasai dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat pun pindaan ini adalah mustahil dapat dibuat kerana DAP tidak menguasai
Dewan Negara.

Secara faktanya, DAP sendiri pun hanya akan bertanding maksima 50-60 kerusi seluruh Malaysia. Jika kerusi itu dimenangi kesemuanya DAP masih gagal untuk mendapat dua pertiga kerana jumlah dua pertiga ahli Dewan Rakyat adalah minima sebanyak 149 kerusi.

Jika ada parti yang mahu meminda Perlembagaan adalah sebenarnya parti Pas kerana Pas bertanding 160 kerusi!

Maka dengan ini usahlah para pengundi percaya dengan mitos yang ditaburkan oleh Presiden Pas itu. Sebenarnya Presiden Pas itu hanya cemburu dengan keutuhan Pakatan Harapan yang mana nama-nama besar dalam politik seperti Tun Mahathir, Mat Sabu dan Lim Kit Siang boleh bersatu hati di bawah satu lambang ‘mata’ bagi menghadapi PRU 14.

Langkah ini pastinya akan gagal jika Pas masih berada dalam Pakatan Harapan dan ini adalah hikmah besar perjuangan menuju Putrajaya kerana
halangan dan kemuncup perjuangan sudah terpinggir daripada arena politik negara.

PAS sudah menjadi parti yang angkuh dan ego sehinggakan mampu melawan tabie alam iaitu berkaitan penciptaan pelbagai agama dan bangsa di Malaysia. Resam yang bersifat majmuk di Malaysia ini menghendaki penyatuan antara kaum dan agama dan mengelakkan pertelingkahan.

Jika sifat majmuk ini berjaya disatukan maka baharulah akan muncul kemenangan. Telahan kekalahan teruk Pas dalam PRU 14 ini juga telah disebut oleh beberapa pakar politik negara seperti Profesor Dr Muhd Agus Yusoff, Profesor Datuk Dr Ridzuan Othman (IDE) dan Ibrahim Sufian (Merdeka Centre). Sama-samalah kita menanti sejauh manakah prestasi Pas selepas PRU 14 kelak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...