Saturday, April 14, 2018

Sepanjang DAP dalam pemerintahan Selangor, inilah yang telah berlaku pada ISLAM

KERAJAAN PAKATAN HARAPAN - DAP SELANGOR DALAM MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH SELANGOR


1. Saya rimas dengan mesej-mesej propaganda DAP anti Islam dan DAP bakal merencatkan usaha meperkasakan Syariah di Malaysia.

2. BN jika mereka benar dan ikhlas, dengan 60 tahun BN mampu melakukan banyak perkara. Sebaliknya, bagi kekal memerintah, mereka main isu DAP bakal merosakkan usaha memartabatkan Syariah di Malaysia jika berkuasa. Malah ada yang berdoa untuk diselamatkan daripada jajahan kerajaan Selangor yang memerintah dengan cara tidak Islam.

3. Di Selangor, DAP ada 14 wakil DUN, PKR 13, AMANAH 2, PAS 14, dan UMNO 11. Wakil EXCO pula, 4 PKR, 3 DAP dan 3 PAS. Speaker DUN YB Hannah daripada DAP. Banyak kuasa DAP jika mereka mahu halang Syariah.

4. Namun begitu, berdasarkan kenyataan YB Yunus Hairi (EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu) dalam satu kenyataannya mengatakan bahawa Negeri Selangor menjadi Negeri PERTAMA yang berjaya melaksanakan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pada tahun 2015, yang antara lain, telah memperkasakan Mahkamah Syariah dan Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah seperti berikut:

(a) Menaik taraf bidang kuasa mal bagi Mahkamah Rendah Syariah Selangor daripada kuasa asal adalah untuk mendengar tuntutan bernilai tidak lebih RM100 ribu kepada tuntutan bernilai tidak lebih RM300 ribu;


(b) Menaik taraf bidang kuasa mal bagi Mahkamah Tinggi Syariah Selangor daripada kuasa asal adalah untuk mendengar tuntutan melebihi nilai RM100 ribu dan ke atas kepada tuntutan melebihi nilai RM300 ribu dan ke atas;

(c) Menaik taraf bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dengan mewujudkan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Syariah;

(d) Meminda syarat-syarat pelantikan sebagai Ketua Hakim Syarie Selangor, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan Ketua Pendakwa Syarie Selangor dengan mengiktiraf pengalaman Pegawai Syariah dalam semua jawatan yang boleh diisi atau disandang oleh mereka yang dilantik dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah.

(e) Mewujudkan kuasa Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah Syariah Selangor yang berfungsi untuk melancarkan lagi aspek pengurusan kes di Mahkamah Syariah Selangor.

5. Kerajaan HARAPAN-DAP juga telah mewujudkan Kaedah-Kaedah Hakam (Selangor) 2014 yang membantu Mahkamah Syariah menyegerakan penyelesaian kes cerai di Selangor dan seterusnya membantu menyelesaikan kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah.

6. Bagi prasarana dan kewangan pula, Kerajaan HARAPAN-DAP ini telah memperuntukkan sebanyak RM36,236,978.00 setahun bagi menampung kos belanja mengurus Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, termasuk menyediakan peruntukan sebanyak RM17,664,900.00 setahun bagi membiayai kos pajakan bangunan baru Ibu Pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan 9 Bangunan Mahkamah Rendah Syariah seluruh Selangor.

7. Kerajaan HARAPAN-DAP juga meluluskan sebanyak 94 jawatan kontrak bagi menampung masalah kekurangan perjawatan di Mahkamah Syariah Selangor yang tidak boleh ditambah dengan jawatan tetap kesan daripada arahan pembekuan bagi pewujudan jawatan baru kecuali dengan pelaksanaan “trade off” dan “re-deployment” jawatan sedia ada.

8. Kerajaan HARAPAN-DAP telah menyokong dan memperakukan cadangan Pengukuhan Perjawatan yang dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang melibatkan:

(a) permohonan naik taraf beberapa gred jawatan seperti jawatan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Ketua Pendaftar, Pembantu Syariah; dan

(b) pertambahan 1 jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Pembantu Syariah.

9. Kerajaan HARAPAN-DAP juga menyokong segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan bagi program kualiti, inovasi, transformasi dan program kemasyarakatan seperti program turun padang dan program kesedaran undang-undang Syariah dengan membenarkan penggunaan peruntukan bagi belanja mengurus yang diluluskan untuk menampung segala kos yang bersangkutan dengan pelaksanaan program-program tersebut.

10. Pesan saya, janganlah mempermainkan isu kaum dan agama bagi kepentingan politik kita. Politik adalah pertandingan antara dua atau lebih pihak dalam memberi manfaat terbanyak pada rakyat yang diwakilinya. Malaysia ada Perlembagaan dan undang-undang, bergantung pada kita sebagai Muslim untuk pandai menggunakan proses-proses yang ada untuk kepentingan kita, bukan menumpukan tenaga menyalahkan orang lain atas ketidakcekapan kita.

Arham Merican
13 April 2018

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...