Friday, May 18, 2018

Majlis Penasihat Kerajaan - Dalam 6 hari ditubuh sudah 40 mesyuarat, temu 50 individu

Majlis Penasihat Kerajaan tidak akan memanggil kedua-dua bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Shahrir Samad untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu yang membelenggu agensi pengurusan perladangan itu.

Ketua majlis berkenaan, Tun Daim Zainuddin berkata tindakan itu tidak perlu kerana pihaknya sudah memanggil pegawai dan ahli lembaga pengarahnya.

"Kami sudah mendapat gambaran yang menyeluruh,” kata bekas menteri kewangan itu pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, beliau bertemu dengan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Majlis, yang ditubuhkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (HARAPAN), Sabtu lepas, turut diberi taklimat oleh bekas ketua pengarah Felda, Datuk Hanapi Suhada, Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Zulkarnain Md Eusope.



40 mesyuarat, temu 50 individu

Daim berkata sejak penubuhan majlis itu enam hari lalu, pihaknya telah mengadakan 40 mesyuarat dan bertemu dengan 50 individu daripada pelbagai latar belakang iaitu pegawai kanan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor korporat.

“Kami menbincangkan beberapa topik, antara lain, tol, Felda, Felcra, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura,” katanya.

Mengenai status ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang dikaitkan dengan kontroversi syarikat pelaburan negara,1Malaysia Development Berhad (1MDB), Daim berkata beliau tahu di mana Jho Low berada ketika ini.

“Saya harap dia akan pulang dan membantu kami sekiranya dia rasa dia tidak bersalah. Peraturannya mudah, tidak bersalah sehingga terbukti bersalah,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...