Imam Masjid Kampung Landai, Yusof Offman, 65, berkata, kampung yang mempunyai ramai penduduk miskin itu terbeban dengan GST selama ia dilaksanakan.
“Ramai penduduk di kampung ini miskin, Majoriti penduduk di sini menoreh getah. Bila GST jadi sifar, lega lah sedikit.
“Apabila harga getah murah, pendapatan tak cukup untuk nak sara keluarga. Kebanyakan ketua keluarga perlu tampung lima hingga lebih isi rumah,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan GST sebelum ini turut menyukarkan penduduk membina rumah baharu.
“Dulu bila nak buat rumah contoh kos RM100,000. GST saja nak kena bayar RM6,000, teruklah.
“Anak-anak yang dah berkahwin pun masih tiada rumah, terpaksa tumpang rumah mak ayah. Sekarang ni nak buat rumah, kos tak tinggi sangat,” katanya.
Bagaimanapun katanya, harga barang dengan kadar sifar GST masih mahal.
Katanya, kerajaan baharu diharap dapat mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi menurunkan harga barang.
“Harga ikan dan minyak pun masih mahal. Barang-barang dijual belum sampai dekat orang kampung dah melalui pelbagai peringkat.
“Sebab tu lah harga mahal, sistem guna orang tengah kena dihapuskan,” katanya.
Yusof berkata, kerajaan baharu juga diharap dapat menstabilkan harga getah.
“Kami orang kampung minta sangat kerajaan baharu dapat naikkan semula harga getah.
“Waktu zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, harga getah pernah cecah RM6 sekilo. Legalah kami jika harga getah naik semula,” katanya.
Katanya, keperluan kemudahan asas di kampung itu diharap diberi perhatian pihak berwajib.
“Datanglah jenguk-jenguk keperluan penduduk kampung ni. Antara keperluan paling penting laluan jalan mini tar kampung ke masjid sudah rosak,” katanya.
No comments:
Post a Comment