YAN - Harapan Ikon Penyokong Bola Sepak Kedah, Zulkifli Hashim, 39, atau lebih dikenali Puaka Jerai untuk beraya di rumah baharu tidak kesampaian apabila pembinaan rumah yang dijanjikan siap sebelum hari raya dihentikan secara tiba-tiba.
Zulkifli berkata, dia dan ahli keluarganya dijanjikan pembinaan struktur rumah baharu selepas rumah asalnya, di Kampung Pekan Sungai Yan, musnah akibat ribut pada 30 April lalu.
Menurutnya, selepas kejadian ribut itu, rumahnya dikunjungi oleh Adun kawasan berkenaan yang kemudian berjanji mahu membantu membina semula rumahnya yang rosak dengan struktur rumah baharu dengan bantuan dana daripada agensi di bawah kerajaan persekutuan.
“Rumah asal saya memang dah reput sebab tu rumah pusaka dan ditambah lagi dengan kerosakan selepas dilanda ribut memang agak teruk dan tak selamat untuk saya dan keluarga duduk,” katanya.
Katanya, Adun kawasan berkenaan yang datang melawat rumahnya ketika itu, berjanji untuk membantu membina semula rumah dan akan siap sepenuhnya sebelum hari raya ini.
“Pada 6 Mei lalu, kerja-kerja merobohkan rumah asal sudah dibuat dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa hari kemudian kerja-kerja pembinaan telah dibuat dengan bantuan pelatih Akademi Bina Malaysia (ABM).
“Pembinaan rumah saya berjalan dengan lancar pada sebelum dan selepas PRU, baru-baru ini," katanya.
Namun menurutnya, kira-kira dua minggu lalu, kerja-kerja pembinaan dihentikan kerana tiada lagi bahan binaan yang dihantar ke tapak rumahnya.
“Saya cuba berfikir positif yang mungkin depa akan mai sambung kerja pembinaan lagi dua tiga hari.
“Tapi sehari demi sehari saya duk tunggu, saya dapat rasakan impian saya untuk beraya di rumah baru seolah-olah bakal terkubur,” katanya.
Bapa kepada dua anak berusia itu juga hiba apabila memikirkan mereka sekeluarga bakal beraya tanpa rumah tahun ini.
“Sekarang ini saya dan isteri terpaksa tinggal berasingan, saya menumpang di rumah mak di Kampung Perigi manakala isteri dan anak-anak menumpang di rumah kakaknya.
“Kami tak boleh tinggal terus sebab ada peralatan rumah yang ditinggalkan di luar kerana tiada tempat untuk simpan sementara rumah masih dalam pembinaan,” katanya.
Katanya, dia ada bertanyakan mengenai status rumahnya kepada pihak yang terlibat namun masing-masing saling menuding jari.
“Saya berharap pihak terbabit boleh tampil menyelesaikan masalah ini dan bertanggungjawab ke atas janji yang depa dah berikan kepada saya.
“Saya tak tau apa masalah depa, cuma saya harap bila depa berjanji depa boleh tepati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pekan Sungai Yan, di sini, pagi semalam.
Sementara itu, usaha wartawan untuk mendapatkan respons Adun berkenaan gagal.
No comments:
Post a Comment