Friday, September 21, 2018

'Dah lama depa MADA tak mai cuci tali air'

 'Dah lama depa tak mai cuci tali air'
JERLUN - Petani di Kampung Bohor Karang, di sini kecewa apabila mendakwa sistem pengairan tidak diselenggara sempurna oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Seorang petani,Mohd Sobri Ramli,61, berkata, masalah berkenaan berlarutan sejak dua tahun yang lalu.

Katanya, kali terakhir pihak Mada didakwa membersihkan tali air berkenaan adalah pada 2016 setelah menerima aduan daripadanya.

"Kalau ikutkan, sebelum daripada itu pun memang dah lama Mada tak mai cuci, bila saya buat aduan, baru depa turun.

"Kalau boleh biar ada jadual yang sistematik, tak kan nak tunggu kami buat aduan, baru depa mai cuci.

"Kadang-kadang buat aduan pun tak ada tindakan, macam aduan terakhir saya tu, minta depa mai tukar pembentung tapi tak ada tindakan pun sampai sekarang,"katanya, ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan tali air yang penuh dengan sampah sarap, ranting kayu dan lain-lain sisa lagi menyebabkan air tersekat dan mengalir perlahan.

"Bila jadi macam ni, kami pun terbeban dan kesannya terganggu la semua kerja- kerja kami,"katanya.

Lim Woei Kiat, 41, pula berkata, setiap kali hujan lebat, padi mereka akan tenggelam kerana air daripada sawah tidak dapat dilepaskan ke sungai.

"Ya la, sampah penuh dalam tu, air tak boleh mengalir la, kemudahan ada tapi tak ada penyelenggaraan..betul-betul bagi masalah kat kami.

"Ada satu parit "gila" tu tersumbat, kami dah cuba nak buat sendiri, bagi air jalan elok balik...tapi tak boleh juga kena tunggu tindakan dari pihak Mada juga," katanya.

Sementara itu, Abu Hassan Ismail, 66, berkata, 80 peratus penduduk di kawasan berkenaan adalah petani.

"Jadi kita harap pihak Mada dapat ambil perhatian la dengan masalah ini supaya kerja-kerja kami lancar dan sempurna.

" Bukan apa setiap kali nak menabur dan menuai, kami susah hati, masa tu la kami nak ambil dan lepas air ke sungai," katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...