Saturday, September 22, 2018

LZNK - Sasar satu daerah, satu sekolah asnaf

 Sasar satu daerah, satu sekolah asnaf
ALOR SETAR - Sekolah asnaf kedua yang dibiayai sepenuhnya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dirancang diwujudkan pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya mensasarkan untuk mewujudkan sekolah asnaf di setiap daerah di Kedah.

Syeikh Zakaria berkata, setakat ini, LZNK sudah memiliki sekolah pertama, iaitu Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti, di sini di Kota Setar.

"Untuk peringkat seterusnya, kita merancang untuk menyediakan sekolah asnaf di daerah Sik pada tahun depan demi membantu keluarga asnaf miskin.

"Selepas itu, kita akan susuli di daerah lain untuk mewujudkan sekolah asnaf terbabit dalam usaha membela nasib keluarga asnaf miskin." katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada Sinar Harian selepas sesi penyerahan kunci Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim kepada Pengetua Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim, Abdullah Harun, semalam.

"Sekolah asnaf ini ialah bermaksud di bawah asnaf miskin, anak-anak mereka diberi peluang belajar di sekolah ini dan ditanggung sepenuh oleh LZNK," katanya.

Katanya, pelajar sekolah asnaf itu terdiri dari keluarga asnaf miskin dari seluruh Kedah yang dibiayai sepenuh kos perbelanjaan mereka termasuklah yuran sekolah dan makan.

Dalam perkembangan lain, katanya, Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim yang beroperasi sementara waktu di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Mergong kini bakal beroperasi di bangunan baharu bermula 19 September di Jalan Suka Menanti.

Kata beliau, bangunan Maahad Ad Dini Sultan Abdul Halim dibina dengan kos RM11.2 juta lengkap dengan pelbagai prasarana untuk kemudahan pelajar.

"Sekolah ini memiliki 30 bilik darjah yang mampu memuatkan kira-kira 600 pelajar. Setakat ini, sekolah berkenaan memiliki kira-kira 206 pelajar dan dijangka akan membuat panggilan pelajar baharu sebanyak 100 orang untuk tahun depan," katanya.

Menurutnya, maahad terbabit sebelum ini beroperasi di Maktab Mahmud yang diselia oleh Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, sebelum diambil alih LZNK.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...