Thursday, September 6, 2018

Daim jadi peguam, jumpa Anwar 6 kali di penjara

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin mendedahkan beliau 'menjadi peguam' dan bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara sebanyak enam kali sebelum pilihan raya umum ke-14.

Menurut Daim beliau bertemu dengan ramai pemimpin Umno daripada DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR sendiri termasuk Anwar bagi membincangkan masalah dihadapi negara ketika itu.

"Hendak jumpa Anwar susah. Yang dibenarkan jumpa hanya ahli keluarga atau peguam. Maka, untuk atasi masalah ini saya jadi peguam balik. Dengan cara itu saya dapat masuk di (Penjara) Sungai Buloh dan jumpa Anwar.

"Saya jumpa dan berbincang dalam enam kali. Selepas itu saya tidak dibenarkan. Bila tidak dibenarkan saya tulis surat kepada PM.

"Saya tanya mengapa tidak boleh berjumpa kerana saya peguam. Mereka ada laporan tertentu maka saya tidak dibenarkan masuk.

"Tidak mengapalah sebab kami dah bincang. Yang perlu dibincang masalah ketika itu ialah masalah politik," kata bekas menteri kewangan itu.


Perkara itu didedahkan Daim dalam rancangan Soal Rakyat yang disiarkan selama sejam di TV3 malam tadi yang dikendalikan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor.

Nasihat bekas PM berjaga-jaga

Dalam temubual itu, Daim mendedahkan strategi kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU14 lalu.

Menurut Daim beliau sendiri mendapat laporan daripada pemimpin Umno mengatakan mereka akan kalah.

"Masa kempen mereka beritahu akan kalah. 'Think tank' mereka masa kempen pun beritahu mereka akan kalah. Ini orang Umno kerana kita ada kawan ramai.

"Saya ada juga nasihat bekas PM berjaga-jaga akan kalah. Sebabnya banyak. Bezanya itu saja. Kita tahu (BN) akan kalah," jelasnya.

Katanya, beliau turut berhubung dengan Tan Sri Rafidah Aziz agar membantu Dr Mahathir.

"Cara mereka (Umno) dan pemikiran mereka ialah selagi Dr Mahathir seorang, dia tidak akan menang sebab dia sendirian.

"Yang penting kita ada dua strategi dan paling penting masa mesti tepat.

"Maka mereka minta saya buat satu wawancara dengan Nanyang Siang Pau. Dengan cara itu kita musnahkan MCA dan MIC dulu sebagai sudah tidak relevan. Selepas itu tumpu kepada Umno. Umno ketika itu bongkak.

"Dia ingat mesti menang, ada isu, ada jentera, ada angka dan penyandang.

"Mereka sombong sekali. Kalau dalam adat kita, mereka biadab juga. Orang Melayu kata biadab dan kita tidak boleh terima," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...