Kenyataan media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan pada 11 April 2020:
PERKARA DIBANGKITKAN MENGENAI KEBENARAN BEROPERASI KEPADA SEKTOR TAMBAHAN SEMASA LANJUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KE 28 APRIL 2020
Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota kesihatan dan keselamatan – “our frontliners” – atas usaha mereka untuk mengawal dan melawan wabak virus COVID 19 yang telah menunjukkan hasil selepas hampir satu bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac 2020.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas pada 10 April 2020, telah menyatakan bahawa beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat. Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Seri Azmin Ali, telah mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama, iaitu 10 April 2020, di mana sektor tambahan disenaraikan.
Kami mengalu-alukan, pada prinsipnya, keputusan untuk memberi kebenaran kepada sektor tambahan untuk beroperasi semasa lanjutan PKP ke 28 April 2020 untuk mengurangkan impak negatif kepada ekonomi terutamanya kepada industri Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS). Namun begitu, beberapa soalan penting mesti dibangkitkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 10 April 2020.
Pertama, apakah sebab sesetengah industri dipilih untuk dibenarkan beroperasi sementara yang lain tidak? Menteri Kanan telah memberi syarat-syarat tertentu seperti tahap kepentingan sesuatu industri dalam rantaian bekalan global (“global value chain”), aktiviti ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilah tambah (“value added multiplier”) yang tinggi, impak ke atas kelangsunan (“sustainability:) PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan dan jumlah tenaga kerja yang terlibat. Tetapi industri dan sektor pekerjaan yang dipilih membangkitkan lebih soalan misalnya mengapa perkhidmatan guaman dimasukkan dalam senarai tetapi sektor perkhidmatan profesional yang lain seperti akauntan tidak dibenarkan? Adakah kepentingan sektor kesihatan sosial seperti “Traditional dan Complementary Medicine” (TCM), perkhidmatan gunting rambut asas dan perkhidmatan dobi “full service” konsisten dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh Menteri Kanan? Apabila asas sebab sebuah sektor dibenarkan untuk beroperasi manakala sektor yang lain tidak, ia akan menyebabkan orang awam menyoal keadilan perutusan ini.
Kedua, adakah pihak kerajaan akan mengeluarkan Standard Operating Procedure (SOP) untuk aktiviti yang akan dijalankan oleh sektor tambahan yang telah diumumkan? Pihak MITI telah mengumumkan syarat-syarat operasi untuk sektor pembuatan yang dibenarkan untuk terus beroperasi semasa PKP fasa pertama dan kedua tetapi kebenaran beroperasi terkini melibatkan sektor perkhidmatan yang bukan dalam kawalan MITI.
Apakah SOP yang sesuai untuk dilaksanakan supaya “social distancing” yang mencukupi dan selamat diamalkan oleh tukang gunting rambut dan juga pelanggan. Ada juga persoalan sama ada kedai gunting rambut patut dibenarkan untuk terus beroperasi memandangkan “social distancing” yang mencukupi tidak dapat dilakukan dengan selamat. Jikalau SOP tidak jelas, bagaimana pihak kerajaan akan membuat keputusan sama ada untuk membenarkan sesebuah kedai ataupun syarikat dalam sektor tambahan untuk beroperasi?
Ketiga, kapasiti oleh kerajaan terutamanya, pihak MITI, untuk memproseskan permohonan kebenaran sektor baru ini juga menjadi satu persoalan. MITI diberikan 2 hari untuk menyediakan proses dalaman dan juga laman web MITI untuk menerima dan memproses permohonan daripada syarikat dalam sektor pembuatan sebelum PKP bermula pada 18 Mac 2020. Jumlah permohonan telah membanjiri MITI dan menyebabkan laman web MITI “crash”. Pegawai MITI dan agensi terpaksa bekerja 24 jam untuk sekurang-kurangnya seminggu untuk memproses beribu-ribu permohonan. Memandangkan bahawa terdapat beribu-ribu kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik, kedai gunting rambut dan perkhidmatan dobi di seluruh negara, laman web MITI akan sekali lagi dibanjiri oleh permohonan dan pegawai MITI dan agensinya tidak akan mampu untuk memproses beribu-ribu permohonan ini dalam masa yang singkat. Tambahan pula, huraian sektor tambahan yang tidak terlalu umum (seperti ‘industri mesin dan peralatan’) juga akan menambahkan jumlah permohonan oleh kerana adanya syarikat yang akan ‘cuba nasib’ dan turut membuat permohonan.
Bagi sektor ekonomi tertentu seperti kedai hardware, kedai elektronik dan kedai dobi, bukannya lebih sesuai dan wajar jika kerajaan persekutuan mengumumkan SOP yang lengkap dan membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memproses permohonan beroperasi dan memberi kelulusan serta menjalankan penguatkuasaan?
Sudah jelas bahawa keputusan untuk membenarkan sektor tambahan beroperasi tidak difikirkan dengan baik dan secara menyeluruh. Keputusan untuk membenarkan sektor-sektor tertentu beroperasi nampaknya dilakukan dengan cara yang tidak konsisten. Pemprosesan permohonan pasti tidak akan dilakukan dalam masa yang singkat. Semua ini akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan kekecewaan di kalangan peniaga yang sudah menderita akibat virus ini dan pelanjutan PKP.
YB Datuk Wira Dr Hatta Ramli
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Fahmi Fadzil
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Dr Ong Kian Ming
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
No comments:
Post a Comment