Monday, February 19, 2018

Akhirnya buang saja slogan Tidak Melayu Hilang Di Dunia, kata Miqdad


Mengulas mengenai polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengimport berjuta rakyat asing kononnya bagi tujuan pembangunan negara, Ketua AMANAH Marang, Ustaz Miqdad Zakaria berkata, polisi berkenaan boleh membuatkan masyarakat dan keadaan negara menjadi cacamerba.

Kata beliau, kononnya hendak membangunkan negara, kerajaan telah mengimport berjuta-juta warga asing dan nanti jumlah mereka ini akan membiak dan bertambah menjadi berganda-ganda.

“Tibalah saat anak cucu kita bermasyarakat dengan mereka, kalau leka mungkin jadi hamba di bumi merdeka,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Menyingkap sejarah negara katanya, pada waktu dahulu British membawa masuk orang India ke negara ini kerana kata British orang Melayu tidak tahu menoreh getah.

“British kata Melayu tak kuat melombong, maka diimport Cina untuk memperkasakan industri bijih.

“Hampir 100 tahun India dan Cina berasimilasi dalam kehidupan berkomuniti dengan masyarakat Melayu, pola demografi penduduk turut tersusun mengikut kaum.


“Melayu di pesisir dan kampung-kampung hidup dengan gaya feudal, raja dan bangsawan dihormati, hamba sahaya ibarat kais pagi makan pagi, sawah berhuma memukat jadi pekerjaan ruji.

“India di estet getah, yang berani berhijrah berdagang berantah, asal jadi kaya hidup tak betah.

“Cina pula di lombong-lombong, di pekan berkedai menjaja ke kampung, Melayu pelanggan berbondong-bondong, itulah wajah kita selama ini,” kata beliau.

Namun sejak itu kata beliau, tanah air ini dikongsi penuh harmonis walaupun negara pernah dijajah oleh Jepun dan diancam komunis dan ia tetap dipertahankan.

Tetapi sekarang tambah Miqdad, British sudah tiada, gantinya pemerintah asalnya Bumiputera.

Melayu konon terasnya negara bangsa Malaysia, tetapi pada masa kini orang Bangladesh pula dijadikan perantara, tambahnya.

“Konon untuk membangunkan negara, diimport masuk berjuta-juta, diletak segala ceruk seranta, nanti membiaknya berganda ganda.

“Belum dikira Nepal, Myanmar, Filipino dan Rohingya. Indonesia tak perlu dikata, keturunannya ada yang jadi menteri penguasa.

“Tibalah saat anak cucu kita bermasyarakat dengan mereka, kalau leka mungkin jadi hamba dibumi merdeka,” katanya lagi.

Waktu itu kata Miqdad, longkangkan sahaja slogan Tidak Melayu Hilang Di Dunia itu.

“Malaysia yang ada sudah cukup perisa, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan segala. Jangan lagi ditambah perwarna, kelak cacamerba jadinya negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...