Wednesday, February 21, 2018

Cerminlah Muka Dahulu, Jangan Melulu Tuduh Rakyat Manja, Punca Negara Tak Maju


Saya cukup terkejut akan tuduhan melulu Menteri Besar Johor, Dato' Seri Khaled Nordin yang menuduh rakyat manja punca negara tidak bergerak lebih maju. Beliau perlu sedar bahawa gejala rasuah adalah punca terbesar kemunduran tamadun dan bangsa.

Sejarah telah membuktikan, kejatuhan sesebuah empayar besar seperti Rom, Uthmaniyah dan sebagainya adalah antaranya berpunca daripada budaya rasuah yang berleluasa yang merosakkan sistem keadilan undang-undang dan keadilan ekonomi terhadap rakyat.

Jangan melulu menuduh rakyat manja, sekiranya kerajaan tidak memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk menjaga rakyat maka selayaknya mendapat layanan terbaik daripada kerajaan.

Jangan juga melulu menuduh rakyat manja dan bising punca negara tidak maju, sekiranya dasar yang diperkenalkan tidak holistik dan gagal disebabkan pelaksana-pelaksana dasar yang rakus kuasa dan wang.


Sebaiknya, beliau perlu cermin muka terlebih dahulu dan bersihkan rasuah yang berleluasa dalam kerajaan negeri Johor. Rakyat Johor masih tidak lupa bagaimana exco dibawah pentadbiran beliau pada awal tahun 2017, Datuk Abd Latiff Bandi telah didakwa atas tuduhan rasuah berhubung isu hartanah Johor. Kini beliau pula terpalit dengan skandal hartanah dan digelar JO1.

Mungkin juga, rakyat perlu katakan kepada kerajaan negeri Johor, bahawa Barisan Nasional terlalu dimanjakan sehingga berani untuk menyeleweng wang rakyat sesuka hati.

Justeru, Khaled Nordin perlu memohon maaf kepada rakyat Johor khususnya dan Malaysia amnya, atas tuduhan liar beliau yang tidak berasas dan tidak demokratik.

Salahuddin Hj Ayub
Naib Presiden Pakatan Harapan
Timbalan Presiden AMANAH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...