Wednesday, February 21, 2018

LZNK rancang bina rumah mampu milik untuk penjawat awam

LZNK rancang bina rumah mampu milik untuk penjawat awam
Syeikh Zakaria (kanan) menunjukkan kelengkapan yang ada dalam kit bantuan jenazah pada Majlis Pelantikan Ejen Masjid, Penyampaian Elaun Pegawai Masjid dan Pelancaran Kit Bantuan Jenazah.

KUBANG PASU - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merancang membina sekurang-kurangnya 100 rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Penjawat Awam LZNK tahun ini dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad.Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, untuk itu pihaknya kini masih berada dalam perbincangan lanjut berhubung perkara itu dengan bank berkenaan.

“Kita berada di akhir perbincangan dan secara dasarnya Bank Islam setuju untuk bersama kita bagi membiayai skim perumahan tersebut dengan cara Bank Islam akan beri pinjaman mudah dengan jaminan LZNK tanpa faedah.

Tahun ini kita sasar 100 buah rumah dulu sebagai projek perintis,” katanya pada Majlis Pelantikan Ejen Masjid, Penyampaian Elaun Pegawai Masjid dan Pelancaran Kit Bantuan Jenazah di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Darul Aman di Jitra dekat sini, hari ini.

Syeikh Zakaria berkata, menerusi skim perumahan itu nanti sekiranya harga rumah itu bernilai RM43,000, LZNK akan menyumbang RM20,000 manakala pemohon hanya perlu membuat pinjaman dengan pihak bank itu sebanyak RM23,000 sekali gus tidak membebankan mereka.

Beliau berkata, pelaksanaan skim perumahan seumpama itu antara langkah membantu penjawat awam di negeri ini yang bergaji RM1,200 dan ke bawah sebulan mampu memiliki rumah sendiri.

Dalam perkembangan lain, Syeikh Zakaria berkata, lembaga zakat itu memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta tahun ini bagi pelaksanaan Skim Bantuan Jenazah kepada 575 masjid serta hospital di seluruh negeri.

Beliau berkata, skim itu pertama kali dilancarkan bagi membantu imam dan pihak hospital menguruskan golongan asnaf fakir miskin yang meninggal dunia.

Katanya, setiap masjid akan menerima tiga kotak kit bantuan jenazah manakala hospital pula akan diberikan antara 10 hingga 20 kit kelengkapan itu yang dilengkapi kain kafan, air bunga mawar dan kapas telinga.

“Saya beri tanggungjawab ini kepada tok imam dan pegawai perubatan di hospital menentukan siapa yang layak,” katanya.

Syeikh Zakaria berkata, bantuan itu turut diberikan kepada surau yang ada dalam kariah yang luas dengan pihak pengurusan surau itu boleh mendapatkannya daripada imam masjid kariah berkenaan jika keluarga mayat itu betul-betul miskin.Sebanyak 955 kotak kit bantuan jenazah diserahkan kepada imam dan wakil hospital pada majlis itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...