Saturday, February 17, 2018

Kerajaan Pulau Pinang menawarkan perkhidmatan bas percuma mulai 1 April


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang menawarkan perkhidmatan bas percuma di 12 lokasi sekitar negeri ini bermula 1 April nanti.

Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan itu adalah sebagai usaha menambah baik sistem perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa ingin memperbaiki sistem perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang.

“Oleh itu, kita akan melancarkan perkhidmatan baru yang bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini iaitu perkhidmatan bas percuma, CAT (Congestion Alleviation Transport),” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu kini sedang dalam penelitian dan dijangka dilancarkan secara berperingkat bermula 1 April.

“Perkhidmatan ini diperkenalkan sebagai salah satu alternatif menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk kegiatan harian selain mengurangkan kadar kebergantungan kepada kenderaan persendirian, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Kon Yeow berkata, sebanyak 46 bas akan disediakan melibatkan 20 bas di kawasan pulau dan 26 lagi di kawasan Seberang Perai dengan jarak menunggu masing-masing antara 10 hingga 25 minit.

“Cadangan waktu beroperasi perkhidmatan bas ini akan bermula pada jam 6 pagi hingga 10 malam, setiap hari. Ia percuma kepada penduduk Pulau Pinang.

“Perkhidmatan bas percuma ini juga akan melalui laluan utama merangkumi kawasan yang penting seperti hospital, sekolah, pusat pengajian tinggi, masjid dan pusat beli-belah,” katanya.

Beliau berkata, kos keseluruhan penyediaan perkhidmatan bas percuma berjumlah RM15 juta yang ditanggung kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...