Saturday, February 17, 2018

Seramai 70 pencarum di Kedah dakwa Perkeso tidak beri pembelaan

 
Seramai 70 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari Kedah mendakwa mereka tidak diberi pembelaan yang sewajarnya oleh pertubuhan tersebut setelah bayaran pencen ilat mereka diberhentikan sejak Julai tahun lalu.

Mereka dikalangan yang mengalami masalah kesihatan telah mendapatkan bantuan Dr.R.Krishnamoorthy yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau bagi menyuarakan kekecewaan masing-masing.

Kebanyakan mereka adalah pekerja kilang serta buruh yang tidak mampu untuk meneruskan pekerjaan mereka akibat kesakitan melampau.

Dr.R. Krishnamoorthy ketika ditemui berkata, kesemua mereka telah mendakwa tidak diberi pembelaan apabila Perkeso memberhentikan pencen ilat yang telah diterima dengan menggunakan Seksyen 49 ( 1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Seksyen 34 (1) bagi mengkaji semula serta mendapatkan laporan doktor.

Malah ujarnya lagi, kebanyakan pencarum tersebut tidak lagi menerima pencen ilat yang pernah mereka terima sebelum ini apabila Perkeso menggunakan Seksyen 49 akta tersebut.

“Lebih mendukacitakan apabila penerima ilat tersebut dipaksa untuk mendapatkan semula rujukan doktor dengan menggunakan kedua-dua akta.

“Pencarum menyifatkan mereka dibuat seperti bola apabila diarahkan untuk mendapatkan pemeriksaan dari satu hospital ke satu hospital yang berbeza sehinggakan ada yang tinggal di Kedah terpaksa mendapatkan pemeriksaan dari doktor di Pulau Pinang.

“Sedangkan majoriti dari penerima ilat yang diberhentikan pembayaran mereka adalah warga emas yang mengalami kesakitan tulang belakang dan penyakit serius yang berbeza, ” tegasnya.

Beliau juga berkata, terdapat bukti yang sahih dimana ada antara penerima ilat tersebut layak menerima pencen ilat setelah membuat pemeriksaan MRI dan juga X- Ray, sebaliknya tetap dinafikan pembayaran pencen ilat mereka.

“Selain itu terdapat juga antara mereka yang diarahkan supaya mendapatkan pemeriksaan susulan dari satu hospital yang berlainan ke satu hospital yang berbeza dengan doktor yang berbeza pula.

“Disamping itu penerima ilat ini juga tidak diberikan hurainan yang jelas oleh doktor yang membuat pemeriksaan terhadap mereka.

“Terdapat juga antara mereka yang telah pun menerima pencen ilat, sebaliknya apabila dilakukan pemeriksaan susulan, didapati mereka menjalani pembedahan dan pencen mereka turut dihentikan, ” jelasnya yang juga merupakan seorang pengamal perubatan di Sungei Petani.

Sehubungan itu tegasnya, Perkeso perlu mengambil tindakan pro-aktif dan tidak menafikan hak pencarum dan penerima ilat dengan pelbagai kerenah birokrasi untuk mengelakkan pemberian bantuan kepada mereka yang layak.

Katanya lagi, sekiranya kerajaan sudah tidak lagi mampu untuk melaksanakan tanggungjjawab mereka ekoran kekangan kewangan, maka pencarum dan penerima pencen ilat tidak harus dijadikan mangsa.

“Tidak dapat dinafikan hak yang sepatutnya diterima oleh para pencarum dan penerima pencen ilat cuba disekat melalui pelbagai akta yang digunakan.

“Nasib mereka yang seharusnya diberi pembelaan seolah-olah tidak diberi perhatian walaupun ia menjadi tanggungjawab kerajaan.

“Sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan dalam tempoh terdekat, semua pencarum terlibat sanggup untuk hadir ke Parlimen pada permulaan sidang yang akan bermula pada awal Mac yang akan datang bagi menuntut hak mereka, ” tegasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...