Thursday, February 15, 2018

Lepas demo Solidariti Al-Aqsa, Israel masuk Malaysia

 
ULASAN l Tindakan Wisma Putra membenarkan diplomat Israel masuk Malaysia bagi menghadiri satu persidangan berkaitan penempatan manusia yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur adalah tindakan melampau dan terkutuk.

Umat Islam di negara ini yang mengetahui kehadiran wakil rasmi kerajaan haram Israel pasti tidak boleh mendiamkan diri dari mengecam kerajaan kerana membenarkan mereka berada di negara ini.

Malah, umat Islam seluruh dunia pun akan membantah kehadiran mereka ini kerana negara Malaysia adalah sebuah negara Islam yang tidak layak bagi musuh Islam menapakkan kaki di bumi ini.


Hairan bagaimana Putrajaya dan Tel Aviv yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik tetapi diplomatnya boleh dibenarkan masuk ke negara ini secara sah.

Media Israel melaporkan delegasi kerajaan Zionis itu turut disertai bekas Menteri, Ofir Pines, serta pegawai-pegawai kanan lain.

Bahkan, ketua delegasi mereka David Roet mendakwa secara terang-terangan dalam media sosial bahawa beliau datang ke negara ini dengan menggunakan pasport Israel.



Soalnya, apakah Putrajaya telah mengubah polisi sehingga musuh Islam dan masyarakat antarabangsa itu sudah mempunyai hubungan rasmi dengan Putrajaya dalam diam tanpa pengetahuan umum.

Apa alasan kerajaan membenarkan mereka hadir dalam persidangan ini? Diugut, dipaksa oleh kuasa dunia atau mahu berlunak dan berlembut dengan rejim Zionis?

Apakah Putrajaya sudah melupakan kekejaman rejim Zionis Israel yang membunuh jutaan umat Islam di Palestin, mereka menjarah tanah dan merampas semua hak sehingga akhirnya tanah umat Islam Palestin tinggal sekangkang kera.

Bagaimana Putrajaya boleh berlunak dengan tangan-tangan yang mahu merobohkan Masjid Al-Aqsa serta Baitulmuqaddis yang menjadi kota suci umat Islam.

Jika begini keadaannya, kerajaan telah mengamalkan sikap hipokrit terhadap umat Islam di Malaysia.

Putrajaya baru sahaja menganjurkan Himpunan Solidariti Al-Aqsa di akhir tahun yang lalu, tetapi dua bulan kemudiannya membenarkan serta menjemput wakil Israel datang ke Malaysia menghadiri persidangan.

Membenarkan kehadiran Israel bererti mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan kerajaan yang sah.

Difahamkan bahawa himpunan itu turut dianjurkan oleh kerajaan dan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam hal ini, PM telah melakukan satu dosa yang besar ke atas umat Islam dengan penganjuran persidangan ini.

PM mesti memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap umat Islam seluruh dunia.

Ia ibarat satu pengkhianatan terhadap Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa serta menjadi sejarah hitam yang dirobek bahawa Israel dengan mudah menjejakkan kaki ke Malaysia bagi menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh kerajaan.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR adalah anggota jawatankuasa kerja PAS.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/412279#qwVX0iv6YjzAmiJi.99

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...