Thursday, February 15, 2018

PELIK, BAGAIMANA DIPLOMAT ISRAEL BOLEH MASUK MALAYSIA?

https://www.ismaweb.net/wp-content/uploads/2018/02/13B29A77-ECFD-4866-BA9A-DCF5B0B2B612.jpeg
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa satu delegasi dari Israel yang terdiri daripada diplomat-diplomat kanan telah dibenarkan masuk ke Malaysia untuk menyertai World Urban Forum (WUF) ke-9 di Kuala Lumpur. Difahamkan bahawa delegasi ini telah memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport Israel.

Jika benar perkara ini berlaku, ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara kita. Bukan sahaja satu delegasi diplomat kanan Israel telah mendakwa memasuki Malaysia, tetapi David Roet yang mengetuai delegasi tersebut mendakwa secara terang-terangan dalam media sosial bahawa beliau telah memasuki negara kita dengan menggunakan pasport Israel.

Ini merupakan satu cabaran kepada maruah negara, memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan langsung tidak mengiktiraf Israel. Malah Malaysia sering mengecam rejim Israel yang sentiasa menzalimi rakyat Palestin, dan terbaharu Malaysia juga mengecam cadangan Presiden Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Jerusalem.

Jika benar diplomat Israel memasuki Malaysia, ini adalah satu hipokrisi atau kemunafikan yang amat besar oleh Putrajaya. Atau adakah kehadiran mereka ini bermaksud Malaysia bakal mengubah pendirian berhubung Israel? Saya gesa pihak Wisma Putra untuk memberikan penjelasan segera.

Berkenaan kebenaran memasuki Malaysia, memandangkan ia melibatkan bidang kuasa pihak Imigresen, saya menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberikan penjelasan sama ada benar atau tidak satu delegasi diplomat Israel telah dibenarkan masuk ke Malaysia dengan menggunakan pasport Israel untuk menyertai program WUF. Jika benar, siapa yang telah memberikan kebenaran untuk mereka masuk?

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

14 Februari 2018

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...