Masalah Felda dua kali ganda, kata AMANAH Selangor
ARIF ATAN
Warga Felda bukan sahaja tidak terkecuali daripada bebanan kenaikan melambung harga barangan keperluan bahkan dihimpit dengan pelbagai masalah akibat penyelewengan Felda.
Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kos sara hidup yang meningkat kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan penarikan subsidi menyebabkan harga barang meningkat lebih tinggi.
“Kalau kita bercerita di luar (Felda), rakyat tertekan dengan pelbagai masalah terutama kemelut ekonomi.
“Penduduk Felda pun sama merasai. Mereka juga terkena GST dan menjadi lebih parah lagi di Felda ditambah dengan segala masalah Felda.
“Orang Felda mengalami masalah dua kali ganda. Warga Felda tertekan dengan bermacam-macam kos seperti penanaman semula serta pelbagai kes penyelewengan lain,” tegasnya ketika berpidato dalam Jelajah Pakatan Harapan (PH) Selangor di Felda Sungai Tengi malam tadi.
Untuk rekod, syarat-syarat dalam Perjanjian Tanam Semula Kali Kedua dan Pengurusan Kebun antara Felda dan peneroka dianggap lebih menyebelahi anak syarikat Felda iaitu Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP) yang dilantik untuk menguruskan kebun peneroka.
Selain Caruman Tabung Tanam Semula, peneroka dibebani dengan pelbagai potongan setiap bulan bagi setiap ekar antaranya Tabung Pemulihan Ladang dan Jalan Pertanian walaupun Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir dilapor berbangga dengan aset pelaburan bernilai RM5.4 bilion dalam bentuk saham tersenarai.
Menurut Izham, pelbagai masalah berlaku di negara ini bermula dengan Perdana Menteri yang terpalit dengan kepincangan urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Skandal 1MDB diperkatakan di seluruh dunia dan sesetengah negara telah mengambil tindakan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita,” ujarnya.
Mengulas dengan reaksi Najib yang menempelak pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri (PM) PH, beliau menganggap Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB itu sudah lupa.
“Daripada ada PM yang muda tapi curi duit negara. Najib sibuk kata perdana menteri PH tua.
“Dia (Najib) lupa tiada negara di dunia ini yang ada PM jelas hitam putih mencuri duit negara.
“Malaysia saja mengekalkan PM yang terbukti jelas terbabit dengan rompakan duit 1MDB,” bidasnya.
Sehubungan itu, Izham menyifatkan pengundi Felda bersedia untuk memilih PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.
“Kami yakin peneroka Felda termasuk generasi kedua dan ketiga Felda akan membuat perubahan kali ini. Kita tiada pilihan.
“PRU-14 kali ini bersama-sama PH untuk membuat perubahan. Kita (PH) menang, kita tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat penyelewengan Felda.
“Macam mana tanah Felda di tengah-tengah KL boleh hilang?” bidasnya lagi merujuk kepada kehilangan hak milik tanah Felda bernilai ratusan juta ringgit akibat pecah amanah serta salah guna kuasa di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment