Sunday, March 25, 2018

Media asing lapor kenyataan menteri Malaysia berkaitan laporan 1MDB ‘berita palsu’

Asian Correspondent melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan terhadap beberapa organisasi berita antarabangsa yang paling berpengaruh berhubung laporan mereka berkaitan skandal kewangan melibatkan dana negara.

Kata laporan itu, Timbalan Menteri, Jailani Johari berkata, kerajaan Malaysia akan bertindak terhadap media asing yang menerbitkan ‘berita palsu’ mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang semakin menonjol di mata dunia sejak kapal mewah milik Jho Low disita oleh kerajaan Indonesia baru-baru ini.

Jailani, kata laporan itu turut berkata, bahawa kementeriannya telah mengenal pasti organisasi yang ‘cuba mengungkap semula’ isu 1MDB berikutan rampasan kapal mewah di Bali, Indonesia bulan lalu.

Antara portal yang terlibat menurut Jailani ialah The Wall Street Journal (WSJ), The New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation, dan terbaru, MSNBC.


Berhubung laporan-laporan mengenai 1MDB itu, Jailani dilaporkan berkata, berita palsu tersebut disebarkan untuk memburukkan imej Perdana Menteri Najib (PM) Razak.

Kata beliau lagi, sementara kerajaan cuba membasmi berita palsu di Malaysia, isu-isu ini dibawa masuk oleh sumber-sumber daripada luar negara ini.

Siasatan ke atas 1MDB kata Jailani telah membuktikan bahawa dakwaan penyalahgunaan dan kehilangan wang adalah tidak benar.

1MDB menjadi siasatan utama melibatkan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...