Monday, March 5, 2018

DOJ di Jakarta untuk tuntut kapal Jho Low


Pasukan pendakwa Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) kini di Jakarta, Indonesia bagi menuntut kapal layar mewah - The Equanimity - milik ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Timbalan Pengarah Jenayah Ekonomi dan Khas Rebublik Indonesia Daniel Silitonga berkata pasukan itu sudah berada di Jakarta sejak seminggu yang lalu.

"Ya (pasukan pendakwa sudah berada di Jakarta) sejak seminggu yang lalu.

"Dua persoalan yang sudah dilaporkan oleh AS secara rasmi mengenai siasatan kes berkenaan rasuah dan pengubahan wang haram.

"DOJ AS yang melakukan tuntutan itu kini berada di Indonesia untuk mengadakan penyelarasan undang-undang antara Indonesia dan Amerika," katanya kepada Malaysiakini.

Kapal layar Equanimity sebelum ini ditahan penguatkuasa Indonesia atas permintaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).



Pemfailan mahkamah oleh DOJ mendakwa kapal bernama The Equanimity itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Kapten matikan AIS

Dalam saman pelucuthakan sivil yang difailkan pada 16 Jun 2017, DOJ mendakwa wang itu dipindahkan ke sebuah akaun di Caledonian Bank di Kepulauan Cayman yang dipegang bawah nama "World View Ltd" dalam empat peringkat.

"Atas maklumat dan kepercayaan, dana yang dipindahkan ke dalam Akaun World View telah digunakan untuk memperoleh The Equanimity dan telah dihantar dengan cara yang bertujuan untuk menyembunyikan asal-usul, sumber, dan pemilikan hasil Jenayah [...]," dakwa DOJ.

Menurut pemfailan itu, The Equanimity berukuran 300 kaki (91.4 meter) yang dibina oleh Oceanco di Rotterdam, Belanda, pada tahun 2014, dan didaftarkan di Kepulauan Cayman.

Ia boleh membawa 26 tetamu dan sehingga 33 anak kapal. Kemudahannya termasuk pad pendaratan helikopter, gimnasium, panggung wayang, sauna, bilik wap dan 'experimental shower' dan kolam mandi.

Kapal layar itu juga menjadi buruan pihak berkuasa AS sejak 2015 dan disyaki bersembunyi di Indonesia.

Bagaimanapun pada 21 Febuari lalu, kapal layar mewah itu berjaya ditahan di Benoa Bali.

Menurut polis Indonesia, kapten kapal, Rolf Sieboldt-Berry, seorang warga Afrika disyaki sengaja mematikan automated identification system (AIS) bagi mengelak pengawasan pihak berkuasa.

Serah kepada FBI

Khamis lalu Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata kerajaan tidak akan membuat tuntutan terhadap Indonesia kerana kapal itu bukan dimiliki kerajaan.

"Kenapa kerajaan nak tuntut sesuatu yang bukan miliknya?" kata Apandi.

Sementara itu Silitonga turut ditanya adakah pihaknya menghentikan siasatan setelah menyerahkan kapal mewah itu kepada FBI, beliau berkata Indonesia hanya membantu siasatan dan akan menyerahkan bahan bukti kepada FBI.

"Indonesia tidak melakukan penyiasatan. Jadi kita akan serahkan semua bukti (kepada FBI) dan perkara-perkara yang kita dapat sepanjang kami lakukan siasatan di Indonesia," katanya.

Jho Low melalui jurucakap dilapor berkata rampasan itu tidak berasas dan bermotifkan politik.

Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tiada bukti yang menunjukkan Jho Low adalah pemilik Equanimity.

https://www.malaysiakini.com/news/414429

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...