Monday, March 5, 2018

PRU14 : Polis Kedah kenal pasti lima kawasan panas

 Polis Kedah kenal pasti lima kawasan panas menjelang PRU14
ALOR SETAR – Polis Kedah mengenal pasti lima kawasan panas atau “hotspot” untuk diberi tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Sahabudin Abd Manan, bagaimanapun tidak mendedahkan kawasan tersebut kerana ia dijangka berubah-ubah mengikut situasi.

Beliau berkata Wisma Darulaman di sini, menjadi antara kawasan “hotspot” yang perlu diberi perhatian khusus kerana merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri dan menjadi tumpuan orang ramai pada PRU14.

“Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) kita beri lebih tumpuan terhadap Kota Setar sebab ia ibu negeri, simulasi hari ini juga turut dihadiri ketua polis daerah-daerah untuk melihat situasi sebenar dan persiapan yang dibuat untuk dipraktikkan di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Latihan Amal Ex-PRU-14 Siri 2 di Jalan Suka Menanti di sini, hari ini.

Seramai 432 anggota termasuk 108 pegawai terlibat dalam latihan itu bagi menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman awam pada pilihan raya umum.

Latihan amal itu juga bagi memastikan pegawai serta anggota sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU akan datang.

Sementara itu, Sahabudin berkata Polis Kontinjen Kedah memerlukan kira-kira 500 anggota tambahan dan sehingga kini 298 senarai nama sudah diserahkan Bukit Aman kepada Kedah untuk diagihkan di daerah-daerah.

“Selain persiapan anggota, segala peralatan dan logistik turut dipastikan berada dalam tahap kesediaan tertinggi dan boleh digunakan pada bila-bila masa,” katanya bahawa latihan amal itu dirancang mirip kepada keadaan dan ancaman sebenar. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...