Monday, March 5, 2018

PRU14 :Tok Mun sedia lawan Hadi

 PRU14:Tok Mun sedia lawan Hadi
KUALA TERENGGANU - Walaupun hilang wang pertaruhan selepas dua kali kalah teruk, Maimun Yusuf, 99, atau lebih dikenali sebagai Tok Mun sedia bertanding lagi dalam pilihan raya kali ini.

Malah misinya kali ini ibarat cerita wayang ‘mission impossible’ apabila berhasrat untuk bertanding di Parlimen Marang ditambah dengan masalah kewangan yang masih belum mencukupi.

“Lawan Presiden…Presiden Haji Hadi…tok ambil (undi) hok tok je…Dia (Presiden) tahulah hok (hak) tok,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampung kelahirannya di Atas Tol, Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Katanya, pemerintahan sekarang sudah jauh lari daripada landasan kerana orang Melayu sekarang hanya berada di hadapan sahaja sedangkan belakang mereka adalah bangsa lain dan bukan Islam.

Bagaimanapun katanya, beliau akan bertanding sekiranya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkannya menggunakan simbol istana serta ada yang bersedia menyediakan bantuan kewangan.

“Kalau tanding, guna simbol lain dok (tidak) jadilah. Sebab yang lain dok (tidak) betul. Kita buat nak jadi betul, sebab atas dunia dah tak betul nanti akhirat pun tak betul.

“Sebab simbol istana itu adalah amanah orang dulu-dulu yang meminta tok menggunakan simbol itu bagi memperjuangkan nasib orang Melayu Islam.

“Tapi sekarang ni tok tak dok pitih (duit) dan kalau ada rezeki, tok ambil selagi ada hayat. Menang dok menang, suku kiralah,” katanya yang yakin menang pada PRU14 sekiranya menggunakan simbol istana.

Beliau menjelaskan masa bertanding dahulu, beliau menggunakan duit simpanannya sendiri untuk tujuan kempen termasuk wang deposit sebanyak RM10,000 dan ketika itu hanya menunggang basikal.

Kini, Tok Mun memiliki sebuah kereta namun kenderaan itu hanya dibawa keluar apabila ada orang lain yang memandunya.

“Tok tak reti nak bawak (memandu), kalau tok nak ke mana-mana tok mintak tolong kawan bawak (memandu), tok bagilah sikit pitih (duit) kat dia,” katanya.

Calon bebas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU12 itu dianggap sesetengah pihak berjaya memecah undi tokoh Pas pada PRU ketika itu, Mohamad Sabu.

Tok Mun menentang Mohamad Sabu dan BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail dan beliau hilang wang pertaruhan selepas memperoleh undi hanya sebanyak 685 undi.

Pada PRU13 pula, Tok Mun hanya berkempen dengan menaiki basikal tanpa bantuan jentera kempen sekali lagi hilang wang pertaruhan apabila hanya sekadar meraih sebanyak 182 undi.

Ketika itu, kerusi parlimen Kuala Terengganu dimenangi calon Pas, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kini memimpin Parti Amanah.

Sekiranya hasrat Tok Mun mahu bertanding pada PRU14 di Parlimen Marang tertunai maka sudah pastinya warga emas itu akan bertanding dalam saingan empat penjuru termasuk berdepan Presiden Pas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...