Saturday, March 3, 2018

Membetulkan kekeliruan fakta kes Indira Ghandi dan Akta 164 yang PAS mengaku mereka hero.

KANUN

https://www.justreadonline.com/wp-content/uploads/2017/07/istana-kehakiman-malaysia-putrajaya-mahkamah-court.jpg
Sesetengah pihak telah menyamakan fakta kes Indira Ghandi dengan peristiwa Natrah. Peristiwa Natrah itu adalah berkaitan dengan keputusan Mahkamah di Singapura mengenai hak penjagaan ke atas seorang kanak-kanak yang berada dalam jagaan keluarga angkat beragama Islam dan telah berkahwin dengan seorang beragama Islam.

Akhirnya, Natrah telah dipulangkan kepada ibu bapa asalnya di Belanda. Keputusan kes itu akhirnya telah mencetuskan kekacauan di Singapura sehingga menyebabkan beberapa orang telah ditangkap dan dipenjarakan.

Bagi sesetengah penceramah politik, mereka telah menyamakan kes Indira Ghandi dengan kes Natrah. Membuat persamaan begini amat menyeronokkan bagi mereka kerana boleh membangkitkan emosi agama pendengar. Pendengar yang tidak menyemak fakta sebenar akan terus bertakbir padahal kedua kes itu mempunyai fakta yang berbeza. Penceramah politik begini hanya suka untuk memainkan emosi orang awam khasnya para pengundi semata-mata untuk meraih undi politik.

Mereka juga mengecam BN dan PH kerana telah menyokong pindaan kepada Akta 164. Pas pula dikatakan melawan pindaan Akta 164. Bahkan, PAS pula diangkatnya sebagai wira yang kononnya berjuang untuk Islam tetapi sebenarnya mereka sendiri keliru mengenai fakta kes Indira Ghandi dan Akta 164. Mereka hanya pandai berkata Umno telah tunduk kepada MCA dan Amanah pula telah tunduk kepada DAP dalam isu pindaan Akta 164.

Akta 164 adalah pindaan berkaitan dengan status perkahwinan pasangan bukan yang Islam yang mana salah seorangnya telah menganut Islam.

Sebelum pindaan ini, status pembubaran perkahwinan pasangan ini adalah kabur kerana hanya orang bukan Islam yang boleh diadili boleh menfailkan kes untuk membubarkan perkahwinannya di bawah Akta 164. Ini akan mendatangkan kesusahan kepada pasangan yang memeluk Islam kerana dalam rekod beliau masih lagi pasangan suami isteri melainkan jika pasangan bukan Islam itu telah menfailkan permohonan untuk pembubaran perkahwinan. Selepas pindaan ini dibuat, pasangan yang memeluk Islam juga boleh menfailkan pembubaran perkahwinannya di bawah Akta 164.

Pindaan ini adalah memudahkan pasangan yang berkahwin di bawah Akta 164 untuk menyelesaikan kesemua isu berbangkit dalam perkahwinannya itu sama ada isu harta atau isu hak jagaan anak atau lain-lain isu di dalam satu Mahkamah yang sama.

Sebelum ini, pasangan yang memeluk Islam hanya boleh menfailkan kes di Mahkamah Syariah sahaja kerana Akta 164 hanya terpakai ke atas orang bukan Islam. Jika keputusan hanya dibuat di Mahkamah Syariah pastinya ia akan mendatangkan masalah kerana penghakiman Mahkamah Syariah tidak mengikat orang bukan Islam. Oleh itu, perlu ada satu forum yang muktamad yang berbidangkuasa ke atas kedua-dua pihak daripada pasangan itu.

Seperkara lagi, penyelewengan fakta yang selalu disebut oleh penceramah politik ini adalah bahawa kes Indira Ghandi ini adalah disebabkan pindaan kepada Akta 164. Dalam pindaan Akta 164, pihak kerajaan pada mulanya telah memasukkan cadangan untuk menambahkan Seksyen 88A berhubung dengan agama anutan anak yang masih belum mencapai umur 18 tahun dalam hal salah seorang ibu bapanya telah menganut agama Islam.

Seksyen itu telah mencadangkan supaya kedua ibu bapa perlu sama-sama memberikan kebenaran bertulis sebelum anak yang belum cukup umur dianggap menganut agama Islam. Namun, sebelum Akta 164 itu diluluskan, cadangan untuk memasukkan Seksyen 88A ini telah pun ditarik balik. Oleh itu, sebenarnya isu ini tidak perlu dimanipulasikan lagi oleh penceramah politik.

Walau bagaimanapun, isu Seksyen 88A ini telah dibangkitkan semula apabila keputusan kes Indira Ghandi diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penentuan agama anak yang belum berumur 18 tahun haruslah dengan persetujuan bertulis kedua-dua ibu bapanya. Keputusan ini tiada kaitan langsung dengan cadangan Seksyen 88A kerana Seksyen 88A tidak pernah diluluskan.

Apa yang berlaku adalah keputusan kes ini kebetulannya selari dengan apa yang dicadangkan dalam Seksyen 88A. Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu setelah mengkaji peruntukan yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Isunya adalah sama ada Seksyen 88A ini jika diluluskan oleh Parlimen akan menjejaskan hak beragama orang Islam? Kebebasan beragama adalah dijamin dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Namun, hak untuk kebebasan beragama ini hanyalah untuk mereka yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas. Bagi anak yang belum berumur 18 tahun, kes undang-undang yang diputuskan sebelum kes Indira Ghandi menyatakan bahawa penganutan agama anak itu hanya perlu diputuskan oleh salah seorang ibu atau bapa atau penjaganya sahaja.

Isu anutan agama anak ini telah mendatangkan masalah dalam sistem perundangan kerana berlaku perbezaan antara perintah Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Apabila ada suatu keputusan yang jelas tentang mahkamah manakah yang berbidang kuasa untuk memutuskan isu ini maka kedudukan undang-undang akan menjadi jelas. Tidak akan ada lagi perbezaan penghakiman oleh Mahkamah yang berbeza. Ini akan memudahkan urusan penguatkuasaan perintah khasnya jika suatu arahan dikeluarkan kepada badan penguatkuasa undang-undang seperti PDRM dan imigresen.

Isu agama anak juga tidak sepatutnya timbul kerana isu ini telah lama menjadi khilaf di sisi para ulama. Oleh itu, pemerintah boleh memilih mana-mana pendapat ulama yang sesuai diamalkan dalam konteks masyarakat majmuk dan selari dengan prinsip siyasah syar’iyyah dan prinsip maqasid syariah.

Prinsip bahawa agama anak itu perlu ditentukan oleh kedua-dua ibu bapanya juga telah menjadi undang-undang yang telah dibuat di negeri-negeri. Contohnya, negeri Terengganu telah memasukkan Seksyen 101 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 yang menyatakan bahawa seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal atau (a) sudah mencapai umur lapan belas tahun; atau (b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu dan bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.

Walaupun ada sesetengah negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Perak hanya mensyaratkan kebenaran itu diberikan oleh salah seorang ibu atau bapanya, tetapi hakikat perbezaan yang berlaku dalam enakmen pentadbiran agama Islam di negeri-negeri menunjukkan sudah berlaku khilaf dan masing-masing harus terbuka menerima khilaf seperti ini.

Oleh itu, dalam membincangkan kesan kes Indira Ghandi ini ianya tidak boleh dibuat di atas pentas ceramah semata-mata. Perbincangan perlulah berfokus dengan kehadiran ilmuan dan ahli akademik dalam bentuk seminar atau sidang meja bulat. Perbincangan yang dibuat di atas pentas ceramah hanya akan mengundang pertikaian emosi semata-mata dan tidak mendatangkan sebarang faedah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...