Saturday, March 3, 2018

Penduduk dakwa Adun Padang Terap gagal laksana tanggungjawab


Khairizal menunjukkan jalan raya yang tidak di tar .
Kegagalan Adun Kuala Nerang yang juga merupakan exco kerajaan negeri Kedah dan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna menyebabkan penduduk kampung dan pengundi menjadi mangsa.
Akibat ketidakpedulian tersebut, kini penduduk di Kampung Belukar Melong, Paya Terap, Kuala Nerang merasa amat kecewa apabila kemudahan asas yang ada di kampung tersebut tidak diberi perhatian.
Selain itu terdapat juga jalan-jalan kampung yang sudah hilang tarnya tetapi tidak diturap semula.
Sementara itu penghadang besi jambatan yang ada di kampung tersebut juga semakin uzur dan boleh membawa kecelakaan sekiranya terjatuh ke dalam sungai.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Umar Mohamed berkata, aduan telah pun dibuat kepada JKKK untuk beberapa kali, namun begitu ia tidak pernah diberi perhatian.

“Kami penduduk kampung sudah berkali-kali membuat aduan kepada pihak berkuasa termasuk JKKK.
“Tetapi sehingga kini, tidak ada apa-apa tindakan yang mereka ambil, sedangkan jalan tersebut menjadi laluan masuk dan keluar penduduk kampung.
“Sepatutnya wakil rakyat di sini adalah exco kerajaan negeri, sudah tentu beliau boleh membawa banyak kemudahan kepada kami, sebaliknya ia dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya kesal.
Khairizal menunjukkan keadaan penghadang jambatan yang tertanggal di Kampong Belukar Melong, Kuala Nerang.
Manakala Che Mat Lat pula amat mengharapkan pihak berwajib boleh membaiki segera penghadang jambatan yang semakin uzur sejak sekian lama.
“Penghadang besi tu dan pun senget dan boleh jatuh bila-bila masa sahaja.
“Ia amat merbahaya pada waktu malam dan ketika hari hujan kerana penghadangnya sudah tidak kuat dan bila-bila masa sahaja boleh terjatuh ke dalam sungai.
Che Mat Lela
“Kalau boleh kami amat berharap wakil rakyat kawasan ini yang juga exco kerajaan negeri turun padang dengan secepat mungkin bagi membantu menyelesaikan masalah yang telah begitu lama tidak dipedulikan, ” katanya.
Tinjauan yang dibuat oleh Malaysia Dateline bersama-sama dengan Penyelaras AMANAH Parlimen Padang Terap, Mohd Khairizal Khazali mendapat jalan-jalan tersebut sudah tidak diturap begitu lama sehingga mampu memberi kecederaan sekiranya terjatuh.
Disamping itu jalannya juga berlopak dan begitu panjang sehingga masuk ke dalam kampung tanpa diberi perhatian.
“Seharusnya Datuk Badrolhisham selaku exco kerajaan negeri turun padang dan melihat dengan lebih dekat masalah kemudahan asas yang tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri di kampung ini.
“Begitu juga dengan keadaan penghadang kepada jambatan yang dijadikan laluan utama penduduk kampung, tetapi ia tidak juga diberi perhatian walaupun boleh mengundang kecelakaan kerana penghadangnya semakin uzur dan tidak kuat.
“Kegagalan exco kerajaan negeri serta Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Ahli Parlimen Padang Terap membuktikan ia tidak mampu untuk menjadi wakil kepada rakyat dalam parlimen ini, ” tegasnya.
Sehubungan itu tambahnya, pengundi khususnya dalam kawasan Parlimen Padang Terap harus menilai kembali prestasi selama lima tahun khidmat wakil rakyat Umno dan BN dalam Parlimen ini sebelum memberi mandat sekali lagi dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...