Dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang kian hampir, bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan orang ramai agar jangan sesekali merasa terhutang budi dengan parti politik.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata masa depan negara jauh lebih penting berbanding mana-mana individu dan parti politik.
"Kita tidak perlu sentimental dan setia kepada parti atau individu. Jangan sekali-kali merasa terhutang budi sehingga sanggup menutup mata dan telinga kepada perkara tidak betul yang melanda negara.
"Fikirlah kesan (masalah sekarang) kepada masa depan anak dan cucu kita. Apa akan terjadi jika negara dibiarkan dilanda masalah besar yang ada sekarang," katanya.
Rafidah yang pernah menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri selama 21 tahun dilihat semakin lantang bersuara terutama berhubung isu 1MDB.
Awal bulan lalu, beliau membangkitkan skandal 1MDB yang menurutnya telah memalukan negara di peringkat antarabangsa, termasuk kegagalan pihak berkuasa mengesan kapal layar mewah Equanimity milik usahawan Low Taek Jho yang akhirnya dirampas di Bali, Indonesia.
Walaupun tidak menyatakannya secara khusus, kritikan Rafidah ini sekali lagi jelas ditujukan kepada partinya sendiri iaitu Umno.
Beliau berkata lagi, rakyat harus melihat masa depan negara melangkaui segala pemberian kerajaan seperti BR1M dan kenaikan elaun dan gaji apatah lagi ia datang daripada wang mereka sendiri.
"Sanggupkan kita menggadaikan masa depan anak dan cucu serta tidak peduli kepada keadaan negara hanya kerana gaji dan 'gula-gula'?"
"Pemberian itu untuk jangka pendek dan memberi faedah kepada kita sahaja tetapi kesan buruk hutang 1MDB, rasuah dan salah guna kuasa dan harta negara akan (memberi kesan) untuk bertahun-tahun lamanya," katanya lagi.
Selain Rafidah, seorang lagi tokoh veteran Umno yang dilihat lantang membangkitkan isu 1MDB adalah Tan Sri Rais Yatim, dan kedua-duanya menerima kecaman pemimpin parti ekoran tindakan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB menafikan sebarang salah laku atau penyelewengan dalam syarikat itu.
No comments:
Post a Comment