ARIF ATAN/April 3, 2018 11:45 am 0
Cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sudah dikuatkuasakan sejak 1 April 2015 menyebabkan masyarakat luar bandar berpendapatan rendah juga tidak terkecuali.
Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Baharuddin Ahmad berkata, GST dikenakan pada segenap rakyat sedangkan konsep cukai sepatutnya hanya wajar dikenakan kepada golongan berkemampuan sahaja.
“Segenap peringkat rakyat kena bayar cukai. Tidak kira kaya, miskin, yatim piatu, cacat apa saja. Semua kena bayar. Ini konsep percukaian yang salah.
“Cukai ini sepatutnya dikenakan kepada yang mampu atau barang yang mahal-mahal. Di Indonesia, cukai GSTnya 24 peratus tapi tidak dikenakan ke atas rakyatnya yang tidak mampu.
“Cukai itu dikenakan kepada barang-barang mewah dan import saja. Kita ini, duduk di kampung dan Felda, GST tetap kena bayar,” jelasnya dalam Ceramah Umum AMANAH Kawasan Jempol malam tadi.
Sehubungan itu, beliau hairan sekiranya masih ada rakyat tidak marah dengan pelaksanaan cukai enam peratus itu yang menjadi penyebab kenaikan melambung kos sara hidup.
Baharuddin menegaskan Pakatan Harapan (PH) akan menunaikan janji menghapuskan GST jika diberi mandat pada pilihan raya umum akan datang.
“Kalau tuan-tuan tidak marah cukai GST ini, tak tahulah. Janji PH dalam tempoh 100 hari mendapat mandat di Putrajaya, GST akan dihapuskan,” tegasnya lagi.
Semalam, Pasukan Komunikasi Strategik BN menyediakan senarai lapan soalan lazim berserta jawapan mengenai apa yang dianggap mereka sebagai salah faham mengenai GST di negara ini.
Antaranya, pasukan tersebut menganggap GST di Malaysia tidak boleh dianggap sebagai tambahan cukai tidak seperti di lain-lain negara yang melaksanakan GST seperti di UAE dan Arab Saudi.
Senarai soal jawap tersebut dikeluarkan serentak pada hari Kempen Rakyat Tolak GST Bersama Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan gedung beli-belah Sogo di ibu negara.
Untuk rekod, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapat kutipan GST sebanyak RM41.2 bilion sepanjang 2016 dan menyasarkan sebanyak RM42 bilion untuk tahun 2017.
Ini bermakna secara purata kerajaan mengutip cukai GST kira-kira RM3.5 bilion setiap bulan sejak dilaksanakan tiga tahun lalu.
No comments:
Post a Comment