Tuesday, April 3, 2018
Tahniah.. Malaysia lah negara pertama yang ada RUU ANTIBERITA TIDAK BENAR
RUU Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan semalam di Dewan Rakyat dengan 123 MP menyokong dan 64 MP menentangnya.
Berbagai persoalan berbangkit berkenaan dengan tujuan sebenar mengapa kerajaan memaksakan RUU ini diluluskan. Sepertimana usul kajian semula persempadanan, ia dibentang dan diluluskan secara tergesa-gesa menjelang PRU ke-14.
Tajuk kepada RUU Antiberita Tidak Benar ini menyentuh dua komponen:
⚫️Berita
⚫️Tidak benar
Perkara yang berkaitan dengan "Berita" yang menyalahi undang-undang telah pun wujud akta-akta tertentu jika melakukan kesalahan-kesalahan berkaitannya. Antara akta-akta itu:
🔴Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
🔴Akta Hasutan 1948
🔴Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998
Manakala komponen kedua berkaitan dengan "Tidak Benar" juga telah sedia ada perundangan berkaitan dengan kesalahannya, iaitu:
🔴Akta Fitnah 1957
🔴Kanun Keseksaan, Seksyen 499
Sekurang-kurangnya terdapat lima akta yang sudah sedia ada yang menyentuh isu berita tidak benar.
Apabila diteliti RUU ini, ia lebih memberatkan kepada dakwaan-dakwaan kesalahan dengan tafsiran yang tidak jelas.
Versi Inggeris RUU Antiberita Tidak Benar 2018 disebut sebagai Anti-Fake News Bill 2018.
Dalam versi Inggerisnya, Fasal 1 RUU menyebut definisi "Fake news" disebutkan seperti berikut:
"Includes any news, information, data and reports which is or are wholly or partly false, whether in the form of features, visuals or audio recordings or in any other form capable of suggesting words or ideas."
Menurut Kamus Oxford, "Fake" bermaksud "not genuine; imitation or counterfeit". Manakala menurut Kamus Cambridge, "Fake" bermaksud "not real, but made to look or seem real". Mengikut Kamus Mirriam-Webster pula, "Fake" bermaksud "counterfeit or sham". Ia merangkumi segala yang tidak benar, tiruan dan karut. Definisinya sangat luas.
"False" pula menurut Kamus Mirriam-Webster bermaksud "not genuine, intentionally untrue, adjusted or made so as to deceive intended or tending to mislead, not true". Manakala menurut Kamus Oxford "False" membawa maksud "not according with truth or fact; incorrect". dan Kamus Cambridge pula memberi definisi sebagai "not true".
"Fake" dan "False" adalah dua istilah yang amat berlainan. Definisi "Fake" terlalu luas, manakala "False" lebih spesifik.
Undang-undang "Anti-Fake News" ini mengelirukan. Tajuk RUU, kesalahan dan hukuman berkaitan dengan "Fake", tapi tafsirannya menyebut "False".
Isu dan persoalan kesalahan di bawah RUU ini menjadi kabur. "Fake news" atau "False news"? Berita palsu atau berita tidak benar?
Pada 29 April 2018 Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Azalina Othman] ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU Antiberita Tidak Benar ini di Dewan Rakyat berkata, ada pindaan berkaitan kesalahan dan hukuman.
Kata Menteri Azalina, PM Najib Razak bersetuju supaya hukuman penjara yang diperuntukkan selama 10 tahun dikurangkan kepada 6 tahun bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam cadangan Fasal 4 dan 5 dalam RUU.
Semasa RUU digubal, apakah kriteria yang dipakai untuk mengenakan hukuman semaksimum 10 tahun dan denda RM500,000? Apakah pula kriteria yang digunakan untuk mengurangkan hukuman penjara dari 10 tahun kepada 6 tahun? Apa pula rasional hukuman penjara dikurangkan tetapi denda maksimum masih kekal RM500,000?
Sewaktu membentangkan RUU, Menteri Azalina juga telah berhujah dengan mengambil negara Filipina sebagai contoh bagi penggubalan RUU.
Kongres Filipina memang telah menggubal satu undang-undang khas yang dipanggil "Anti-Fake News Bill 2017" yang memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang menawar, menerbit, mengedar dan menyebarkan berita tidak benar dengan niat jahat. Undang-undang itu masih dipertimbangkan di peringkat jawatankuasa Kongres Filipina.
Setelah meneliti "Anti-Fake News Act 2017" negara Filipina, iaitu S.B. No. 1492 AN ACT PENALIZING THE MALICIOUS DISTRIBUTION OF FALSE NEWS AND OTHER RELATED VIOLATIONS, didapati hukuman penjara bagi mana-mana orang yang disabitkan bersalah hanyalah 1 hingga 5 tahun. Manakala hukuman denda maksimum ialah sebanyak 5 juta Peso (RM370,681).
Apa yang tersangat berbeza dengan RUU di Malaysia, di dalam "Anti-Fake News Act 2017" di Filipina, Fasal 2 di sana menyebut dengan jelas bahawa tiada pengecualian undang-undang ini terhadap pemimpin negara, menteri dan penjawat awam.
Di Filipina, Fasal 2 "Anti-Fake News Act 2017" memperuntukkan:
"If the offender is a public official, he shall be liable for twice the amount of the fine imposed above, and be imprisoned for two times longer than the period provided herein. In addition, he shall also suffer the accessory penalty of absolute perpetual disqualification from holding any public office."
Ini bermakna Presiden Filipina, Naib Presiden, Menteri-menteri, dan termasuk pegawai-pegawai rasmi kepada First Lady, jika didapati bersalah di bawah akta ini, mereka akan dikenakan denda dan hukuman penjara DUA KALI ganda berbanding rakyat biasa yang tidak memegang jawatan rasmi kerajaan.
Bukan hanya setakat itu. Disebutkan, "they will also suffer the accessory penalty of absolute perpetual disqualification from holding any public office". Bererti mereka terlucut dan hilang kelayakan memegang apa sahaja jawatan rasmi dalam kerajaan.
RUU Antiberita Tidak Benar di Malaysia tidak memperuntukkan samasekali suatu fasal khusus berkenaan dengan hukuman terhadap pemegang jawatan rasmi kerajaan yang didapati bersalah di bawah undang-undang ini.
Seperkara yang menarik perhatian, Presiden Filipina Rodrigo Duterte pun tak bersetuju meluluskannya.
CNN Filipina pada 4 Oktober 2017 melaporkan berita bertajuk "Duterte: Law against fake news won't be passed"; dimana Presiden Duterte berkata, "Freedom of expression would be constitutional. I am sure they cannot pass a law against fake news."
Presiden Filipina Duterte yang dikutuk dunia kerana sering mencabul hak-hak asasi manusia sendiri menyatakan undang-undang "Anti-Fake News" ini mencengkam kebebasan bersuara dan bertentangan dengan perlembagaan.
Sewaktu kerajaan membentangkan RUU ini, Menteri Azalina sebut nama beberapa negara yang kononnya telah meluluskan dan melaksanakan undang-undang ini. Padahal undang-undang tersebut masih di peringkat cadangan di negara Singapura, Filipina dan Perancis.
Walaupun Presiden USA Donald Trump yang asyik membidas segala berita skandal dirinya sebagai "Fake news", tapi PM Najib yang mendahuluinya dalam menggubal undang-undang "Anti-Fake News".
Apabila undang-undang Antiberita Tidak Benar ini menjadi kenyataan, Kerajaan Persekutuan BN pimpinan PM Najib mencatat rekod menjadikan Malaysia negara pertama di dalam dunia yang meluluskan akta "Anti-Fake News".
Tahniah PM Najib, kerana menjadikan Malaysia bertambah dikenali dunia. Di bawah PM Najib, Malaysia jadi juara serba serbi.
Di bawah Kerajaan BN pimpinan PM Najib, Malaysia memahat sejarah perundangan di dunia.
Semua MP yang menyokong untuk meluluskan RUU ini turut mengukir sejarah kerana terlibat sebagai penggubal undang-undang yang zalim lagi menindas ini. Tahniah kepada semua 123 MP sama ada dari BN atau PAS. Kalian semua memang hebat dalam mencipta sejarah hitam Parlimen Malaysia!
Abd Malek Husin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment