Sunday, April 1, 2018

Mat Bashah - Tidak banyak perubahan di Kedah dalam isu persempadanan semula

Gokina Morganan

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/01/Ahmad-Bashah2.jpg
ALOR SETAR - Syor persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengambil kira dari aspek pengundi dan pelbagai elemen terlibat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihak pembangkang tidak perlu menjadikan ia sebagai satu isu kerana syor persempadanan itu merupakan proses biasa dalam sistem pilihan raya di negara ini.

“Di Kedah, cuma satu Parlimen tukar dari segi ejaan. Iaitu Alor Setar yang sebelum ini dengan ejaan Alor Star. Dun tukar nama dengan Dun Bakar Bata kepada Dun Suka Menanti.

“Daerah mengundi terlibat yang berlaku sedikit perubahan di Parlimen Kuala Kedah, Parlimen Sungai Petani dan Merbok,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Bantuan Khas Kerajaan Negeri kepada pasangan Anis Mohd Zain dan Siti Zaleha Ahmad di Kampung Lubuk Peringgi, di sini, tadi.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya menguntungkan BN Ahmad Bashah berkata, tindakan Mahathir seolah-olah tidak pernah berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya sewaktu beliau memerintah negara.

“Tun Mahathir sendiri yang kata (persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya menguntungkan BN)? Ganjil, 22 tahun dia (Mahathir) jadi Perdana Menteri, sudah beberapa kali perubahan (persempadanan semula) berlaku.

“Kenapa masa dia jadi Perdana Menteri tidak timbul pun SPR buat perubahan memihak kepada BN?” katanya.

Dalam pada itu, Siti Zaleha berkata, dia dan suami bersyukur apabila kerajaan negeri membantu bina kediaman yang lebih selesa.

"Sebelum ini kami tinggal di rumah bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tapi rumah itu rosak dalam kejadian ribut.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menyiapkan kediaman kami sekeluarga,” katanya.

Kerajaan negeri tampil membantu membina rumah baru untuk keluarga ini dengan kos RM50,000 yang dilengkapi tiga bilik dan bilik air dan tandas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...