Tuesday, June 5, 2018

9 Adun BN akur Raja Perlis lantik Azlan sebagai MB


MALAYSIA DATELINE

9 Adun BN akur Raja Perlis lantik Azlan sebagai MB
Semua 9 adun Barisan Nasional (BN) akur dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar, manakala pelantikan dan istiadat angkat sumpah exco dijangka selesai sebelum Aidilfitri ini.

Adun Chuping, Asmaiza Ahmad berkata Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dimaklumkan keputusan itu juga tidak membantah.

“Keputusan ini dicapai sebulat suara atas nama rakyat oleh semua 9 adun tersebut sebelum kami menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Ahad lepas.

“Kami akur dengan titah Tuanku…tidak akan toleh belakang lagi,” katanya selepas penyampaian sumbangan Ramadan oleh Azlan kepada 1,531 penerima dalam Dun Mata Ayer di Dewan 2020 hari ini seperti dipetik Bernama.

Asmaiza berkata, semua adun terbabit membuat keputusan itu supaya mereka yang dipilih dapat memberi khidmat kepada rakyat tanpa gangguan, selain agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan lancar.


Katanya, Azlan dijangka menghadap Tuanku Syed Sirajuddin minggu depan bagi memohon perkenan untuk melantik exco dan diikuti istiadat mengangkat sumpah jawatan sebelum Aidilfitri ini.

“Kita menang dengan keputusan majoriti dan tidak pernah terlintas dalam hati kami untuk lompat parti. Isu ini termasuk menubuhkan kerajaan perpaduan, tidak berbangkit.”

Kemelut pelantikan menteri besar bermula, apabila 9 adun BN tidak menghadiri istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu di Istana Arau, 24 Mei lepas.

Setiausaha Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberi alasan mereka menolak Azlan atas beberapa sebab antaranya kegagalan Azlan menghadiri mesyuarat Umno negeri selama 4 tahun, tidak membincangkan isu polisi tanah dengan Umno dan beliau didakwa gagal di bahagian Kangar.

Sebelum itu, Shahidan mencadangkan Azlan dipecat daripada Umno selepas menerima jawatan itu walaupun majoriti adun BN tidak menyokongnya.

Shahidan kemudian mengemukakan 11 nama, selepas 3 nama yang dicadangkannya tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, BN Perlis memenangi 10 daripada 15 kerusi Dun yang dipertandingkan, termasuk Azlan yang menang di Dun Bintong.

Azlan yang ditemui kemudian berkata, seramai 1,203 penjawat awam termasuk berstatus kontrak di Perlis bergred 41 ke bawah akan diberi bonus sempena Aidilfitri sebanyak RM400 seorang, manakala 20 pesara diberi RM200 seorang.

Katanya, pemberian itu melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM485,200 manakala tarikh pembayaran akan diumumkan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...