Sepanjang tempoh ini rakyat dihidangkan dengan laporan-laporan media yang bersumberkan daripada siasatan polis, kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan sekali sekala muncul juga jawapan balas daripada Najib Razak.
Apa yang jelas, Najib masih memiliki ruang untuk menjawab atau membuat kenyataan balas terhadap segala dakwaan yang dibuat terhadap beliau, baik melalui media arus perdana mahupun alternatif.
Penjelasan Najib boleh dibaca oleh semua orang yang membaca media-media baru seperti Malaysiakini.com, Free Malaysia Today, The Malaysian Insight dan pelbagai lagi portal media alternatif yang lain, mahupun yang menonton TV1, TV2, TV3 dan Astro Awani.
Najib perlu bersyukur kerana kerajaan Barisan Nasional sebelum ini tidak pernah melayan atau menghormati pembangkang sebagai salah satu komponen penting yang diiktiraf dalam sistem demokrasi berparlimen.
Perbezaan kerajaan dulu dan sekarang
Apa yang nyata ialah Najib masih bebas walaupun seluruh dunia sudah maklum dengan dakwaan salah laku berpuluh billion ringgit yang dibuat beliau.
Hakikatnya ini adalah kaedah yang betul mengikut prinsip keadilan sejagat yang selama ini diabaikan oleh Barisan Nasional.
Seseorang itu tidak boleh disekat kebebasan asasinya selagi dia belum dibuktikan bersalah dalam satu perbicaraan yang adil dan terbuka di mahkamah.
Ini meletakkan garis perbezaan yang ketara diantara kerajaan hari ini dan kerajaan dahulu.
Namun begitu, tidak salah untuk kita melahirkan sedikit rasa bimbang dengan pelaporan media khususnya media kawalan kerajaan mengenai perkembangan semasa siasatan isu 1MDB oleh pihak berkuasa.
Media perlu memainkan peranan yang seimbang dalam memberi pelaporan yang adil untuk dinilai oleh rakyat. Budaya kerajaan terdahulu yang mengawal dan mempergunakan media arus perdana untuk menghukum seteru politik perlu ditinggalkan.
Mengambil contoh bagaimana kerajaan BN menggunakan RTM dan TV3 untuk menggambarkan Himpunan Bersih 3 sebagai ganas, walaupun Mahkamah Tinggi pada tahun 2015 akhirnya membuktikan sebaliknya.
Untuk merealisasi perubahan yang lebih berani, kerajaan Pakatan Harapan perlu memulakan budaya baru.
Justeru saya ingin membangkitkan semula cadangan lama agar kerajaan melalui Radio Television Malaysia (RTM), mengadakan satu debat terbuka yang mempertemukan antara Najib Razak dan pemimpin kerajaan, khusus bagi membedah isu 1MDB.
Dari kaca mata politik, isu ini mungkin sekadar menjadi perbahasan akademik kerana Barisan Nasional telah pun tumbang.
Budaya baru
Dari perspektif undang-undang pula, perdebatan ini tidak boleh dianggap subjudis kerana pendakwaan di mahkamah belum pun bermula.
Apa yang pasti ini akan membetuk suatu budaya baru yang sukar sekali dapat dilihat semasa pentadbiran Barisan Nasional.
Cadangan ini tidak terhad hanya semata-mata untuk Najib dan 1MDB, tetapi lebih daripada itu, budaya debat dan wacana ini sememangnya perlu menjadi tradisi bagi memastikan rakyat sentiasa terhidang dengan budaya perbincangan yang kritikal dan adil.
Saya kira tidak terlalu sukar untuk kerajaan memastikan ada slot tetap sekali seminggu bagi debat ini diadakan secara langsung di RTM pada waktu perdana.
1MDB mungkin boleh menjadi topik untuk debat episod pertama dengan membariskan Najib Razak, Arul Kanda dan Eric See-To sebagai pendebat di Meja B.
Manakala Tony Pua, Wong Chen, Rafizi Ramli sebagai pendebat di Meja A.
Jika dahulu pelawaan debat pihak Pakatan Harapan sering diabaikan oleh Barisan Nasional semasa mereka menjadi kerajaan, maka hari ini rakyat perlu melihat apakah pemimpin Barisan Nasional masih mengelak dan lari apabila mereka dicabar sebagai pembangkang.
Program debat terbuka ini akan menjadi platfom untuk pemimpin kerajaan tampil secara berdepan dalam menjawab segala isu-isu yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak.
Selain itu, platfom ini juga boleh digunakan sebagai medan untuk mempertemukan mana-mana pihak yang ingin mengemukakan idea secara bertanggungjawab dan matang.
Sudah pasti dengan pelaporan yang seimbang dan program-program seperti debat terbuka ini akan secara langsung mengembalikan kredibiliti media Kerajaan sebagai sumber yang boleh dipercayai.
Mungkin perdebatan ini tidak akan berlaku sekiranya kita menunggu pihak Najib atau pembangkang yang memulakan cabaran. Oleh itu tidak ada salahnya jika pihak kerajaan pula yang terlebih dahulu membuka gelanggang.
Najib, buktikan 1MDB bukan bencana
Jika ini berlaku, maka Najib sepatutnya menggunakan peluang ini untuk mempertahankan diri beliau dan membuktikan bahawa 1MDB bukan bencana seperti yang diperkatakan semua orang.
Jika Najib berkata dia telah dihukum oleh media sebelum dibicarakan, maka Najb perlu maklum bahawa inilah yang selama ini rakyat mahukan. Iaitu sebuah lapangan yang adil untuk rakyat mendengar hujah yang menuduh dan penjelasan daripada yang dituduh.
Namun sikap Najib yang menafikan keinginan rakyat ini telah memakan diri sendiri dan mengheret Barisan Nasional sehingga tersungkur.
Apa yang lebih penting ialah kita mengharapkan bahasa pemimpin hari ini perlu berbeza daripada laras bahasa yang sering digunakan pemimpin Barisan Nasional suatu ketika dahulu.
Jawapan seperti ‘debat bukan budaya kita’ atau ‘pemimpin kerajaan banyak kerja lain’, tidak boleh lagi ada dalam kamus jawapan pemimpin kerajaan hari ini.
SYUKRI RAZAB ialah Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Malaysia merangkap Pengarah Strategi Pemuda HARAPAN.
No comments:
Post a Comment