Monday, June 11, 2018

Pas Kedah mengarahkan semua Pas kawasan menarik balik pemberian resit zakat fitrah


ALOR SETAR - Pas Kedah mengarahkan semua Pas kawasan menarik balik pemberian resit zakat fitrah yang tertera lambang parti itu yang dicetak sendiri, bagi elak kekeliruan selain untuk menghentikan tohmahan tidak berasas.

Timbalan Pesuruhjaya Pas II, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sejurus resit berkenaan tular sejak dua hari lalu, pihaknya memutuskan agar pemberian resit dihentikan serta merta.

Menurutnya, sebagai hormati Sultan Kedah selaku Ketua Agama Islam serta institusi zakat negeri ini, pihaknya akur dengan arahan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Semua resit itu sudah ditarik balik sejak dua hari lalu, bimbang menjadi isu lebih besar jika disalah erti, tambahan pula berkaitan institusi zakat dan Istana,” katanya.

Dr Mohd Hayati yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pendang berkata, pendekatan membayar zakat fitrah melalui parti sudah lama dipraktikkan dan menjadi amalan sejak sekian lama.


“Dulu pun ada buat macam itu, tak ada masalah pula. Bagi kawasan Pendang, kami berikan resit sebagai bukti pembayaran untuk elak persepsi negatif. Kutipan zakat itu dimasukkan ke dalam tabung fitrah Pas, untuk diagih dan digunakan bagi program asnaf dan fisabilillah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya urus sendiri daripada kenal pasti golongan sasaran, kutipan sehingga kepada agihan.

“Wang zakat fitrah itu tidak pernah diseleweng, cuma kami urus sendiri dan agih ikut sasaran asnaf yang dikenalpasti ahli. Contohnya, kebanyakan daripada kita bayar zakat kepada tok guru,” katanya.

Dr Mohd Hayati berkata, kemungkinan ada individu yang sengaja ketengahkan isu ini untuk memberi gambaran buruk terhadap parti itu.

“Seingat saya, perkara ini dibuat sejak Ustaz Azahari Abdul Razak (1987-1991) menjadi Pesuruhjaya Pas Kedah, ketika itu tiada masalah. Fatwa turut dikeluarkan bahawa perjuangan ke arah fisabilillah dibolehkan menerima zakat fitrah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...