Imejnya sebagai pelindung agenda Melayu hancur berkecai dengan pendedahan demi pendedahan dakwaan korupsi dilakukan pentadbiran Najib Razak. Setiap skandal yang dibongkar kerajaan Pakatan Harapan adalah bukti agenda parti itu bukanlah melindungi orang Melayu walaupun itulah yang dilaungkan selama ini.
Keadaan akan jadi lebih sukar untuk Umno apabila bekas presidennya, Najib didakwa di mahkamah kerana kesalahan berkaitan dana anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International yang dipindahkan ke akaun peribadinya.
Selepas itu, skandal Felda akan terbongkar dan perjanjian-perjanjian mencurigakan yang ditandatangani kerajaan Najib dengan China.
“Walaupun pendakwaan belum difailkan, dengan semua skandal ini, imej Umno sebagai pembela agenda Melayu sudah tercemar,” kata Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi dari Jabatan Sosio Budaya, Universiti Malaya.
Ditambah lagi dengan proses penggantian Najib yang tidak jelas menjadikan proses pemulihan parti itu kini sukar berlaku. Pemangku presiden, Ahmad Zahid Hamidi pula tidak melakukan tindakan terhormat apabila melawat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meminta nasihat tentang menyelamatkan Umno daripada musuh politiknya itu.
Beliau berkemungkinan besar akan dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah, 81, untuk jawatan presiden pada pemilihan parti akan datang.
Keadaan dalaman parti boleh dinilai dengan keputusan Hishammuddin Hussein tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden.
“Apabila Hishammuddin sendiri, yang sebenarnya waris langsung kepimpinan Umno mengatakan tidak akan bertanding jawatan tertinggi, ia menunjukkan yang moral kepimpinan parti ketika ini sangat rendah,” kata Awang Azman.
Umno bukan sahaja hilang kuasa di Putrajaya, tetapi juga hanya berjaya mengekalkan kerajaan negeri Perlis dan Pahang. Parti politik di Sarawak pula mengatakan mereka akan keluar Barisan Nasional minggu hadapan.
“Ini menunjukkan betapa rapuhnya Umno sekarang, mereka tak lagi dilihat sebagai ‘abang besar’,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tindakan Ahmad Zahid Hamidi berjumpa Dr Mahathir Mohamad memalukan, keputusan Hishammudin Hussein-pewaris langsung kepimpinan Umno sejak penubuhannya- tidak bertanding pula petunjuk jelas moral kepimpinan parti itu sangat rendah ketika ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018.
Berubah, atau teruskan agenda Melayu
Ada penganalisis percaya yang kunci kebangkitan semula Umno dalam gelombang kehilangan kuasa ini adalah dengan menggunapakai pendekatan yang lebih inklusif.
Daripada 79 kerusi dimenangi BN, 54 adalah milik Umno seterusnya membentuk blok terbesar dalam gabungan pembangkang. Terdapat 222 kerusi Parlimen, 125 dikawal Pakatan Harapan dan sekutu Sabahnya, Warisan dan Upko.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar percaya yang keseluruhan naratif perjuangan Umno perlukan perubahan.
“Ia tak boleh hidup dengan Ketuanan Melayu. Mungkin kembali kepada perjuangan massa seperti sebelum ini adalah cara untuk bergerak ke hadapan.
“Gagal untuk berubah, ia akan mengambil masa yang lama untuk Umno untuk menjadikan dirinya pembangkang yang kuat dan alternatif kepada parti pemerintah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, ada juga penganalisis percaya yang kepimpinan jitu sangat mustahak untuk kelangsungan Umno berbanding perubahan perjuangan.
Kata mereka, parti Melayu itu tidak perlu berganjak daripada asas sokongan Melayu sahaja yang dimilikinya, mengingatkan yang BN dan PAS memegang 50.5% undi popular, berbanding dengan 45.6% yang dimenangi PH.
Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Shamsul Amri Baharuddin mengatakan: “PAS, Amanah dan PKR sekarang adalah aktor baharu dalam masyarakat plural diterajui Melayu dalam Malaysia Baharu. Tetapi Umno, seperti Bersatu, akan terus hidup menggunakan sentimen pergerakan Melayu.”
Tunku Mohar daripada UIAM pula berpandangan walau apa jalan yang diambil Umno, ia perlu bergerak pantas sebelum kehilangan lebih banyak sokongan akar umbinya.
Katanya, buat masa sekarang, parti itu tidak kelihatan membuat keputusan untuk menjadi parti pembangkang alternatif yang kuat.
“Ketika ini, tiada petunjuk yang ada parti pembangkang yang boleh mengambil tempat bekas pembangkang, Pakatan Rakyat atau Harapan,” katanya.
“Generasi pemimpin Umno sekarang mungkin ambil masa untuk menyesuaikan diri jadi pembangkang.
“Sebabnya, mereka sudah berkuasa berdekad lamanya.” – 11 Jun, 2018.
No comments:
Post a Comment