Saturday, June 2, 2018

PH tidak zalim, penjawat awam lantikan politik terima duit raya

PH tidak zalim, penjawat awam lantikan politik terima duit raya

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan seramai 17,000 penjawat awam lantikan politik turut menerima bantuan khas sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah bersikap zalim kepada penjawat awam terbabit walaupun mereka dilantik untuk berkhidmat bagi kepentingan parti lawan.

“Mereka akan dapat habuan hari raya, tetapi kita dapati 17,000 adalah lantikan politik dan datang daripada parti lawan, bukan kerajaan, justeru kena ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Tegas Dr Mahathir kebanyakan jawatan disandang mereka tidak diperlukan dalam melicinkan operasi pentadbiran kerajaan, sebaliknya lebih kepada membantu Barisan Nasional (BN).

“Jawatan itu tiada kerja, sebaliknya berkhidmat untuk parti, malah ada penjawat kerajaan yang mencemarkan diri mereka dengan mengambil bahagian dalam kempen politik. Kita ada (bukti) video untuk kegiatan mereka,” katanya.

Kelmarin Kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM400 kepada kakitangan kerajaan Gred 41 ke bawah dan RM200 untuk pesara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...