Sunday, June 3, 2018

Kemenangan PRU14.. Bukan Mahathir, bukan Anwar

Bukan Mahathir, bukan Anwar
Redzuan Shamsudin


ULASAN l Belum sebulan PRU ke-14 berakhir, sudah timbul isu melibatkan pergolakan dalaman Pakatan Harapan (HARAPAN) diungkapkan sesetengah penyokong parti-parti komponen.

Salah satu isu yang boleh memecahbelahkan HARAPAN adalah lobi penyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggantikannya dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Debat di media sosial berkaitan perkara ini menimbulkan persepsi HARAPAN mula goyah, walaupun ia tidak menjadi kudis kepada pemimpin-pemimpin di atas.

Serangan pertama berlaku apabila Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengumumkan dapatan terbaru kajian Invoke Malaysia yang menjelaskan gelombang rakyat menolak BN pada PRU lalu bukan didasari faktor Mahathir semata-mata, tetapi kerana 1MDB, GST dan isu kos hidup melampau.

Ia mengundang serangan daripada penyokong Dr Mahathir dan saki baki tentera siber BN yang menangguk di air keruh.

Mereka mengecam Rafizi (gambar) atas cubaan memperkecilkan pengaruh Dr Mahathir mencipta kemenangan pada 9 Mei lalu.

Bagi mereka, HARAPAN telah mencuba dalam empat PRU sejak 1999 namun hanya Dr Mahathir yang berjaya menumbangkan BN.

Penyokong PKR yang tidak puas hati pula membalas - jika Anwar tidak dipenjarakan maka keputusan PRU tetap berpihak kepada HARAPAN kerana pada PRU ke-13 pun undi popular BN telah merosot kepada 49 peratus.

Selain itu, kegiatan Anwar selepas dibebaskan pada 16 Mei lalu turut menjadi pertikaian. Kononnya beliau sengaja mencari publisiti bertemu Sultan-sultan, di saat Dr Mahathir bekerja keras menyelamatkan ekonomi negara.

Penyokong yang terlanjur bertempur sesama sendiri ini perlu berfikir secara rasional. Hakikatnya semua tokoh dalam HARAPAN mempunyai sumbangan sendiri, tiada yang lebih berbanding yang lain.

Bandar dan luar bandar

Benar, munculnya Dr Mahathir menjadi katalis kepada perubahan politik. Auranya di kawasan luar bandar tidak dinafikan, terutama kampung Melayu tradisi dan Felda.

Merosotnya kerusi Umno di kawasan Felda adalah kemenangan peribadi Dr Mahathir. Pada PRU 2013, Pakatan Rakyat ketika itu hanya mampu menang di enam daripada 54 kerusi kawasan itu. PRU kali ini, HARAPAN merampas lebih 20 kerusi.

Tetapi apakah hanya Mahathir saja penyebab kejayaan ini? Penghargaan tetap perlu diberikan kepada Anwar dan pemimpin pembangkang lain.

Ini kerana Mahathir tidak perlu berkempen di kawasan bandar apabila sokongan Cina kepada HARAPAN setinggi 80 peratus. Siapakah yang menjana sokongan sebanyak itu dalam PRU 2008 dan 2013?



Jika Mahathir berada dalam kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah pada PRU 1990 - ketika itu masyarakat Cina tidak memberi sokongan - maka kerusi Parlimen di kawasan bandar dan separa bandar tak mungkin dimenangi.

Begitu juga dengan masyarakat India yang memberi lebih 70 peratus sokongan kepada HARAPAN. Pada PRU 2013, undi mereka kepada Pakatan Rakyat hanya sekitar 55 peratus, menyebabkn BN masih mampu menang di kerusi luar bandar di mana pengundi India menjadi penentu.

Peralihan kali ini hasil kempen berterusan Hindraf sejak 2017, sedangkan mereka menyokong BN secara terbuka pada PRU 2013. Tetapi Hindraf jarang disebut sebagai "penyumbang" kemenangan HARAPAN pada PRU ke-14.

Antara 'arus' dan hari pertama

Tak dinafikan, Dr Mahathir adalah faktor dominan peralihan sokongan rakyat dalam PRU ke-14. Namun kita perlu berlaku adil, beliau mudah mendapatkan massa kerana 'menaiki arus' yang sudah disediakan Anwar, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu bertahun lamanya.

Bersama arus itu adalah media pembangkang yang mampu menyampaikan maklumat secara meluas.

Ketika Anwar mula terjun ke dalam dunia pembangkang, yang ada hanya HARAKAH. PKR kemudian mewujudkan Suara Keadilan untuk menyerang dan menangkis serangan BN. Selepas dua dekad, akhbar ini berjaya masuk ke kawasan luar bandar dan meninggalkan kesan di sana.

Sewaktu Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri pada 7 Januari lalu, tidak sedikit penyokong HARAPAN khususnya PKR yang menolak keras. Mereka beranggapan Mahathir tidak sepatutnya diterima kerana telah menzalimi Anwar dan merosakkan sistem pemerintahan.



Berbulan-bulan lamanya Suara Keadilan berkempen untuk Mahathir agar diterima mereka. Adakah Mahathir, dan HARAPAN, akan berjaya jika PKR terbelah dua?

Begitu juga Media Oren (dahulunya TV PAS). Media AMANAH ini berjasa besar menyiarkan siaran langsung ceramah HARAPAN.

Bandingkan keadaan ini dengan hari pertama Anwar sebagai pembangkang, malah selepas kejayaan pada PRU 2008. Media pembangkang tidak sekuat hari ini.

Penyokong Mahathir perlu berterima kasih kepada media dan penyokong pembangkang yang dahulunya penentang tegarnya, tetapi kemudian menjadi penyokong kuat.

Jika penyokong pembangkang khususnya penyokong Anwar boleh berubah menerima Dr Mahathir, kini tiba masanya penyokong Mahathir menerima Anwar yang sudah pun bebas dari penjara.

Momentum dan penyudah

Kemenangan bersejarah 9 Mei adalah kemenangan bersama. Tiada pihak yang tidak berkorban tenaga dan wang ringgit demi kejayaan ini.

Semua yang menyokong HARAPAN adalah pejuang. Mereka sekian lama mengorbankan masa, wang dan tenaga melawan berbilion ringgit dedak yang ditabur Datuk Seri Najib Razak.


Justeru tidak molek jika ada penyokong mana-mana parti komponen mengangkat diri atau pemimpin mereka lebih berbanding yang lain.

Dr Mahathir berjasa besar sebagai penyudah berkesan, tetapi pemimpin dan kader parti lain juga berjasa besar mencipta momentum sejak 20 tahun lalu.

Akhirnya, keputusan PRU ke-14 adalah kemenangan rakyat. Undi merekalah yang menjatuhkan Umno dan BN, serta meletakkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai timbalannya dan pemimpin-pemimpin komponen HARAPAN sebagai menteri kabinet.

Untuk menang amat sukar, tetapi lebih sukar mengisi dan mengekalkan kemenangan. HARAPAN tidak boleh berbalah. Kerajaan hari ini mempunyai tugas berat.

Perkara terbaik yang boleh dilakukan penyokong bukanlah mempertahankan Dr Mahathir dan menolak Anwar (seolah-olah perlu menolak Anwar untuk mempertahankan Mahathir) tetapi sedaya-upaya membantu menjadikan negara lebih baik selepas musnahnya rejim Najib.

REDZUAN SHAMSUDIN sekian lama terlibat dengan media parti pembangkang yang sudah menjadi kerajaan. Beliau kini pengarang kanan akhbar alternatif.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

1 comment:

  1. Kesilapan dibibit awal oleh Rafizi bila mempertikai perlantikan kabinet.

    Diikuti analisa kontotnya, bukan faktor Mahathir..

    Sekarang bengang sebab Zuraidah goyang kaki di PRU, dilantik menjadi Menteri.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...