ALOR SETAR - Kerajaan negeri dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung bantahan penduduk mengenai cadangan pembinaan kuari di sekitar Gua Kelambu, Gunung Pulai, di sini, baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai perkara itu secara terperinci ketika mesyuarat Exco berlangsung, petang kelmarin.
Katanya, mengikut laporan yang diterima oleh pihaknya mendapati Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked) mematuhi semua syarat dan proses yang ditetapkan.
“Malah soal penduduk di situ patut diberi perhatian. Difahamkan, pihak pemaju ada membuat permohonan untuk mengambil sedikit tanah rizab Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), tetapi JPS tidak setuju. Untuk menggantikan tanah itu, pemaju mohon untuk mengambil tanah orang kampung termasuk kawasan bendang.
“Saya tidak pasti apa penyelesaian dalam urusan ini, tetapi melihat bantahan penduduk di situ seolah-olah, pemaju memang tidak dapat persetujuan orang kampung. Tetapi berdasarkan laporan diterima kawasan bendang sudah mula ditambun,” katanya.
Katanya, tindakan itu sudah tentu akan menerima bantahan penduduk kampung di situ.
“Saya berpandangan bahawa ruang sepatutnya perlu diberi perhatian dan janganlah sampai tahap macam itu sekali.