Sunday, August 5, 2018

Memahami keputusan PRK Sg Kandis, apa rakyat nak..?

Wan Haron Wan Hassan
Penulis Kanan Sinar Harian
05.08.2018


Keputusan PRK Sg Kandis:

Keputusan PRK Sg Kandis sudahpun diketahui umum. Kemenangan sekali lagi berpihak kepada PH. Calonnya, Ustaz Zawawi mendapat 15,427 undi, sekaligus berjaya menewaskan calon Umno Adam Lokman yang mendapat 9,585 undi. Majoriti kemenangan ialah 5,842 undi. Calon Bebas hanya memperolehi 97 undi sahaja.

Peratusan pengundi yang keluar mengundi ialah 49.8% sahaja berbanding dengan jangkaan 80% yang dianggarkan oleh SPR.

Sebelum kita melihat dan membuat analisa yang terperinci implikasi keputusan tersebut, kita ambil dulu peringatan bahawa Pas memilih untuk tidak bertanding di dalam PRK ini dan mengambil pendirian untuk memberi endosmen serta sokongan yang padu kepada calon Umno. Bermakna calon Umno turun gelangang membawa hasrat dan inspirasi bersama Umno dan Pas.


Perbandingan keputusan PRU14 dan keputusan PRK:

Semasa PRU14, dari jumlah 50,800 pengundi yang berdaftar, seramai 43,470 telah keluar untuk mengundi, iaitu 85% . Dari jumlah ini, PH mendapat 23,998 undi, iaitu 55.5%, sementara Umno mendapat 11,518 undi, iaitu 26.5% dan Pas meraih 7,573 undi, iaitu 17.5% dan PSM memperolehi hanya 76 undi.

PRK kali ini menyaksikan dari jumlah 51,217 pengundi yang layak memgundi, hanya 25,109 pengundi sahaja yang mengeluar mengundi, iaitu 49.8%, satu angka yang agak rendah dan pasti akan mengundang persoalannya tersendiri.

Dari jumlah undi tersebut, PH telah mendapat 15,427 undi, iaitu 61.5% sementara gabungan Umno/Pas mendapat 9,585 undi, iaitu 38.2%, sementara calon Bebas memperolehi hanya 97 undi.

Rumusan dan implikasinya:

Apakah yang dapat kita fahami dan rumuskan dari keputusan PRK ini?

Pada hemat penulis keputusan tersebut lelah memberi isyarat dan petanda yang amat jelas dan nyata sekali bahawa sokongan kepada PH bukan saja makin meningkat, tetapi meningkat dengan begitu mendadak sekali. Sementara sokongan kepada Umno dan Pas kian merosot dan terhakis dengan teruk sekali. PH berjaya melebar peratus undinya daripada 55.5% yang diperolehi semasa PRU14 kepada 61.5% dalam PRK ini sementara peratus sokongan kepada Umno dan Pas telah merosot dengan drastiknya daripada 44% (Umno 26.5% + Pas 17.5%) kepada 38.2% sahaja.

Jika peratusan yang keluar mengundi lebih tinggi dari apa yang berlaku pada hari ini, besar kemungkinan PH boleh meraih majoriti kemenangan dengan lebih besar lagi.

Pun begitu, PH perlu membuat post-mortem yang jujur, mendalam dan terperinci tentang keputusan PRK ini. Mengambil kira faktor-faktor yang positif dan memberansangkan sambil mentelaah dan merenungi isu-isu yang mecabar dan yang perlu ditangani dengan tegas dan berkesannya. Termasuk memikirkan hakikat bahawa mengapa Umno dan Pas masih mampu meraih hampir 10 ribu pengundi daripada kurang lebih 25 ribu yang keluar mengundi. Bermakna walaupun Umno dan Pas boleh dianggap makin pudar dan malap, mereka masih mempunyai ahli-ahli tegar dan penyokong-penyokong yang setia. PH tidak boleh leka ataupun lalai dengan cabaran dari pihak pembankang.

Jika keputusan ini boleh dikira dan dianggap sebagai kayu pengukur kepada sentimen rakyat jelata ketika ini, khususnya tentang sikap orang Melayu, maka tidak sukar untuk kita membuat rumusan bahawa untuk masa depan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa pertengahan ini, ianya jelas berpihak kepada PH sementara untuk Umno dan Pas, mereka berdepan dengan cabaran yang makin getir dan kian sukar untuk mendapat sokongan dari rakyat jelata.

Isu perkauman dan agama tafsiran sempit parti politik yang dibawa oleh Umno dan Pas terus ditolak oleh rakyat. Tidak salah jika kita membuat kesimpulan bahawa bukan sahaja penyokong asal PH tetap dan terus kekal dengan PH tetapi sebaliknya penyokong-penyokong Umno dan Pas pula sudah mula menyeberangi kepada PH.

Perang propaganda, dakyah dan fitnah yang dibawa oleh pihak-pihak pembankang nampaknya tidak mengena dan tak laku. "Gutter politics" yang diamalkan oleh mereka tidak berjaya memberi apa-apa kesan kepada rakyat jelata. Personaliti gah, megah dan angkuh calon Umno juga memualkan pengundi. Kehadiran Najib di gelangang Sri Kandis hampir setiap hari dengan gaya dan cara kempennya hanya berjaya untuk memperingati pengundi kepada kengerian dan kegetiran zaman pemerintahannya. Khutbah, laungan dan tempikan daripada pemimpin-pemimpin Pas tentang agama juga sudah menjadi hambar, dilihat sebagai sesuatu yang tidak mempunyai kredebiliti lagi kerana lain yang didakwahkan lain pula yang dibikin pemimpin mereka.

Untuk PH pula, kelihatan wujud perpaduan dan kesatuan di antara parti-parti komponen. Mat Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guang Eng, Azmin Ali tampil sebagai satu barisan yang padu. Dan yang membawa impak paling besar kepada pengundi-pengundi ialah kehadiran AI di gelangang Sg Kandis. Beliau disambut seolah-olah sebagai seorang wira yang baru pulang ke pangkuan rakyat selepas sekian lama dizalimi dan dianiyai, ibarat sirih pulang ke gagang.

Peratusan rendah yang turun mengundi boleh diperjelaskan diatas alasan keletihan rakyat untuk sekali lagi turun mengundi selepas baru saja mengundi dalam PRU14; penyokong-penyokong kedua pihak mungkin juga mengambil sikap tidak perlu mengundi kerana keputusannya sudah dapat dijangka; sebahagian pengundi bekerja pada hari Sabtu dan lain-lain lagi. Apapun ianya tidak memberi atau menimbulkan apa-apa keraguan tentang parti pilihan pengundi, sentimen pengundi dan halatuju politik negara.

Kesimpulannya:

Pokok dan kesimpulannya ialah walaupun diperakui kerajaan PH sedang menghadapi pelbagai masalah dan cabaran dalam mengurus tadbir negara ketika ini termasuk kegagalan untuk menunaikan sebahagian janji-janji pilihanraya, rakyat jelata telah menunjukkan kesedian mereka untuk menenerima penjelasan yang diberi pihak kerajaan. Mereka nampak menerima hakikat bahawa kerajaan ini sedang berusaha dengan gigihnya untuk menyelesaikan masalah.

Keputusan PRK ini telah menunjukkan keyakinan dan kepercayaan rakyat yang bulat dan padu kepada kepimpinan Tun M. Untuk membawa mereka ke arah masa depan yang lebih berdaya maju, makmur dan selamat. Mereka telah menjawap soalan cupumas yang dilontarkan oleh Tun M, samada mereka mahu kembali kepada era rejim kleptokrat Najib dan kuncu-kuncunya. Melalui keputusan PRK ini, mereka telah menjawab dengan jelas dan nyata sekali....nauzubillah , tidak sekali-kali!. No, thank you very much.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...