Wednesday, January 29, 2020

Koronavirus: 1 grup WhatsApp, 4 akaun Facebook disiasat



Satu kumpulan sembang WhatsApp dan tiga akaun Facebook sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih berhubung penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata isu penyakit 2019-nCoV itu - yang berpunca dari Wuhan di wilayah Hubei, China - menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Katanya, orang ramai tidak perlu menjadi jaguh di internet atau mensensasikan isu itu sebaliknya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel atau kenyataan yang tidak sahih mengenai wabak tersebut.

"Tindakan mana-mana pihak yang ingin menjadi jaguh di internet mahupun di laman sosial dengan menyebarkan berita tidak sahih mengenai isu ini akan mengakibatkan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," katanya.
Iklan

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Huzir berkata, kes pertama yang disiasat ialah pada 24 Jan lalu membabitkan sebuah kumpulan WhatsApp yang menularkan berita palsu kononnya ada banduan mati mengejut di Penjara Sandakan kerana virus dari Wuhan itu.
Menurut Huzir, maklumat berkenaan boleh menggugat ketenteranan awam serta menimbulkan ketakutan masyarakat.

"Sehubungan itu satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dakwa pelancong mati dalam bas

Menurut Huzir kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta 588 yang menyediakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Kes kedua yang disiasat, kata Huzir, membabitkan akaun menggunakan nama Kong Tuck Wah, yang menularkan maklumat mengenai 2019-nCoV.

Katanya, kes itu disiasat mengikut 203 (A) Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Satu lagi siasatan pula dibuka untuk akan Facebook menggunakan nama Ibu Yati kerana dianggap boleh menggugat ketenteraman awam.

Kata Huzir ia disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Melalui tangkap layar yang disertakan itu, akaun terbabit didapati memaparkan ayat: "Pagi tadi berita kata 1000 org China baru tiba di Penang... agaknya klu (kalau) LGE kena baru darurat ke?"

Satu lagi kes membabitkan akaun Facebook Roti Sardeen yang menyiarkan dakwaan ada pelancong China mati dalam bas berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Kes kelima pula melibatkan akaun dikenali sebagai Ali Dapicey yang membuat hantaran dalam Facebook Gabungan Anak Terengganu kononnya ada lima suspek koronavirus baru pulang dari Wuhan ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta 588 membabitkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Seksyen 233 Akta 588 memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...