Wednesday, January 29, 2020

Urus kebebasan media di zaman Malaysia Baru dengan zaman BN..



SYAHREDZAN JOHAN | | 27 Januari 2020

PADA tahun 2015, sepasukan anggota polis datang ke pejabat sebuah portal berita tempatan atas alasan laporan berita ‘menghasut’ yang disiarkan portal berita tersebut.

Tiga orang wartawan daripada portal berita tersebut ditahan dan terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Jenayah mereka? Mereka melaporkan berita yang tidak disenangi oleh orang yang memegang tampuk kuasa.

Beberapa bulan selepas itu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris pula digantung lesennya selama tiga bulan. Kesalahan mereka? Melaporkan berita mengenai 1MDB.

Ini semua berlaku tidak lama dahulu, pada zaman bahaya buat wartawan dan mereka yang menentang kerajaan ketika itu. Kita kini berada pada zaman Malaysia Baharu.


Banyak telah berubah dalam masa empat, lima tahun selepas peristiwa hitam buat dunia kewartawanan yang saya sebutkan tadi.

Kita sedang menyaksikan kebebasan yang tidak pernah dilihat dalam negara ini sebelum ini. Bukan hanya untuk pihak media, tetapi juga rakyat.

Dalam era Malaysia Baharu ini, rakyat bebas mengkritik dan menghentam kerajaan, tanpa perlu rasa takut bahawa pihak berkuasa akan menahan mereka.

Dalam era ini, tahanan ke atas pengamal media serta penggantungan lesen mencetak bukan sahaja tidak berlaku, bahkan tidak akan diterima rakyat.

Kebebasan itu amat berharga. Kebebasan ini penting untuk memastikan kerajaan sentiasa bertindak mengikut kepentingan rakyat dan mendapat maklum balas rakyat sebelum keputusan dibuat.

Kebebasan membolehkan kita memastikan mereka yang berkuasa tidak menyalahgunakan amanah yang diberikan. Kebebasan kita dapat mengimbangi kuasa yang dipegang institusi negara.

Malangnya, ada juga yang menyalahgunakan kebebasan ini. Berita palsu dan penipuan online semakin berleluasa dan digunakan sebagai senjata dalam politik.

Isu-isu ras dan agama digunakan untuk mencipta ketegangan kaum bagi kepentingan sempit sesetengah pihak. Isu-isu ini menjadi ancaman kepada masyarakat kita kini.

Kebebasan yang kita kecapi sekarang perlu diuruskan dengan berhemah dan cermat, apatah lagi dengan penyebaran retorik perkauman dalam masyarakat Malaysia yang majmuk.

Semua pihak harus bekerjasama untuk mengurus kebebasan ini. Kita jangan terlalu cepat mahu penguasa bertindak mengikut undang-undang, kerana undang-undang itu sewajarnya langkah terakhir dalam menguruskan kebebasan.

Sebelum undang-undang diguna pakai, masyarakat yakni kita semua harus memainkan peranan terlebih dahulu.

Kita boleh mulakan dengan kumpulan WhatsApp kita. Jika ada berita yang palsu, perbetulkan. Jika ada yang sebarkan kebencian, tegur.

Jangan dibiarkan sahaja. Hanya apabila tiada jalan lain, barulah kita melaporkan kepada pihak berkuasa. Pada masa sama, kita juga kena berkomunikasi dengan mereka yang tidak mempunyai latar belakang yang sama dengan kita.

Kita harus mulakan perbincangan dan diskusi dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mendapatkan titik pertemuan.

Jika ada yang menggunakan kebebasan dalam Malaysia Baharu untuk menyebarkan kebencian, kita harus menggunakannya untuk menyebarkan toleransi, pemahaman dan paling penting, penerimaan.

Cabaran yang kita hadapi bukan kecil. Bukan mudah untuk mengurus kebebasan. Tetapi kita tidak boleh putus asa dan kita kena terus berusaha.

Kerana jika Malaysia Baharu ini gagal, kita akan kembali pada zaman gelap di mana mereka yang mengkritik penguasa akan dikenakan tindakan.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


https://www.sinarharian.com.my/article/67540/KOLUMNIS/Urus-kebebasan-dalam-Malaysia-Baharu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...