Sunday, February 18, 2018

Apabila Anwar berucap dan menyentuh isu kafir mengkafir, inilah 'manusia' yang bangun bertanya..!

‪Isu Kafir Mengkafir‬


‪Aku pernah bertembung dengan Anwar Ibrahim dalam perbahasan tertutup semasa majlis alumni Markaz Islam ITM di Petaling Jaya, Selangor pada awal 1981.‬

‪Anwar sebagai Presiden ABIM dijemput sebagai tetamu memberi ucaptama di majlis tersebut. Aku hadir sebagai ahli alumni. Ketika itu kami sudah berbeza; aku telah dipecatnya sebagai ahli ABIM pada 1980.‬

‪Anwar berucap panjang. Di pertengahan ucapannya, dia sentuh permasalahan isu takfir (kafir mengkafir) dalam dunia Islam termasuk di Malaysia. Dia membidas pendekatan takfir dibawa PAS yang mengakibatkan kesan negatif dalam masyarakat Melayu-Islam.‬

‪Aku lantas bangun meminta laluan bagi mencabar dan mempersoalkan ucapan Anwar. Majlis menjadi gawat. Pengerusi majlis Mohd Anuar Tahir (kawan lama, kini Setiausaha Agung Parti Amanah Negara) minta aku agar tak ganggu Anwar berucap. Tapi aku bertegas mohon juga untuk bercakap kerana dakwaan Anwar itu perkara serius.

‪Anwar cool dan tersenyum bersahaja, dan berkata, "Tak mengapa. Aku kenal Malek. Dia adik aku. Biar dia bercakap."‬


‪Aku pun bertanya, "Tadi Saudara Anwar sebut persoalan takfir yang katanya dibawa oleh PAS. Saya cabar saudara, sebutkan siapa yang bawa kafir mengkafir dalam PAS? Jangan cakap saja. Mana bukti? Sebut nama dan apa isi ucapannya yang mengkafirkan sesiapa?" Aku pun duduk.‬

‪Anwar tak jawab cabaran pertanyaan aku secara spesifik. Dia meneruskan ucapannya dengan menjawab permasalahan kafir mengkafir itu secara konseptual. Aku tak mahu tanya lagi kerana rata-rata dalam majlis tak menyenangi pencelahan aku.‬

‪Masa berlalu. Aku sertai menjadi ahli PAS secara rasmi tahun 1981 itu juga. Aku sempat berceramah bersama seorang tokoh ustaz PAS. Kami berceramah sepentas di Kelantan. Dia penceramah popular di kalangan ahli-ahli PAS akar umbi.‬

‪Dalam ucapannya, ustaz PAS itu mengupas satu ayat Al-Qur'an - ayat 44, Surah Al-Maidah, "Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang yang kafir."‬

‪Bersandarkan ayat itu, sambil mengolahkannya dalam konteks politik semasa, dengan lantang dan terbuka, dia mengisytiharkan, "UMNO kafir!"‬

‪Itulah kali pertama aku mendengar sendiri ungkapan terbuka dari seorang ustaz PAS mengkafirkan UMNO. Aku terkejut mendengarnya.‬

‪Kemudian aku berceramah lagi di beberapa tempat di Kelantan dengan dua penceramah lain; seorang ustaz berjawatan 'Pegawai Penerangan PAS Negeri Kelantan' dan seorang lagi Yang Di-Pertua PAS sebuah kawasan. Tema ucapan keduanya sama.."UMNO kafir".‬

‪Tiap kali ungkapan kafirkan UMNO disebutkan penceramah, hadirin PAS penyokong bawahan pun bertakbir, "Allahu Akbar!"‬

‪Itu ialah era takfir dalam PAS. Rupanya betul apa yang disebutkan oleh Anwar Ibrahim tempuhari.‬ Aku sendiri menyaksikannya.

Abd Malek Husin

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...