9 Mei 2018 menjadi titik bersejarah kepada Malaysia apabila sebuah kerajaan yang kukuh dan utuh sejak Merdeka 1957 bernama Barisan Nasional (BN) telah tumbang dengan cukup tragis kepada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh si veteran yang penuh sifat kepimpinan dan semangat waja Tun Dr Mahathir Mohamad. Kesepaduan tenaga PH dibuktikan dengan menggunakan hanya satu lambang iaitu lambang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan pengagihan kerusi yang diterima dengan berlapang dada oleh semua pimpinan dan ahli keluarga Pakatan Harapan.
Kehadiran bekas tokoh UMNO-BN sejak tahun 1998 sehingga sekarang telah menambahkan rencam dalam kesepaduan pasukan Pembangkang sehingga berjaya menjadi sebuah kerajaan yang penuh dengan warna warni saat ini. Nama seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz yang beralih arah dan sedar sebelum terlambat merupakan satu titik tolak kepada kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan kini.
Kemenangan Pakatan Harapan perlu dibukukan dan dicatitkan dalam arkib negara kerana kita telah berjaya menyelamatkan Malaysia daripada dibawa hanyut oleh pemimpin pemimpin UMNO-BN yang hanya mementingkan tembolok masing masing sahaja. Kejayaan Pakatan Harapan sangatlah ditunggu tunggu rakyat marhaen kerana mereka percaya Janji dan Manifesto Pakatan Harapan adalah sangat relevan untuk masyarakat kini. Pemimpin Pakatan Harapan yang dulunya hanyalah demonstran jalanan serta pejuang keadilan dan reformis kini merupakan Bapak Menteri yang ditugaskan untuk “walk the talk” segala idea idea dan buah fikiran yang sebelum ini dihadkan dan dikuburkan begitu saja oleh kerajaan terdahulu.
Pemimpin yang dahulunya vokal dalam isu rakyat atau hak rakyat seharusnya memanfaatkan kedudukan yang ada sekarang untuk membela nasib rakyat terbanyak bukannya membela kroni ataupun keluarga maka ia pasti dilihat 2x5 dengan kerajaan BN dahulu dan ada pepatah “keluar mulut buaya, masuk mulut naga” yang sering dimainkan oleh gabungan pembangkang sekarang iaitu PAS dan UMNO. Para Menteri Pakatan Harapan perlu mengambil ibrah daripada kerajaan terdahulu yang dibenci rakyat kerana berterusan menzalimi rakyat dan menafikan hak rakyat terbanyak sehingga mereka iaitu Barisan Nasional ditumbangkan dengan cukup dahsyat sekali. Pemimpin Pakatan Harapan jangan sombong dengan rakyat hanya kerana punya kuasa tinggi, rumah mewah dan segala protokol yang ada tetapi kalian perlu sentiasa berdamping dengan rakyat marhaen kerana mereka inilah yang punya kuasa sebenar untuk menaikkan dan menjatuhkan sebuah pemerintahan yang angkuh di Malaysia.
Politik Malaysia zaman kini sungguh berbeza dengan 10 tahun yang lalu, dahulunya kita sangat jarang mendengar istilah “troll” yang membawa maksud sindiran atau sarkastik secara humor dalam dunia alam maya pada hari ini. Budaya troll meneroll ini semakin aktif dengan kemajuan teknologi gadget, facebook, twitter dan sebagainya. Golongan yang aktif mengaplikasikan budaya troll ini adalah kumpulan pemuda yang kritis dan berani menongkah arus tanpa mengira daripada mana-mana agama, bangsa, parti politik dan sebagainya. Dalam isu politik Melayu Malaysia, troll meneroll ini dahulunya hanya dihala kepada musuh politik semata-mata. Tetapi hari ini, budaya ini turut menghentam pihak sendiri, hatta pimpinan sendiri juga tidak terlepas daripada kena troll atas alasan kini PH bukan BN2.0 dan PH mengamalkan kebebasan bersuara.
Troll ini sudah menjadi budaya dan kini ia telah berubah menjadi senjata berbahaya terutama dalam negara Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi. Maka sebagai pemain politik yang matang dan bijaksana, pemimpin PH mempunyai pilihan samaada kita berdepan dengan golongan trollers ini secara berkonfrontasi atau berdebat dengan mereka ataupun memanfaatkan mereka menjadi senjata kita untuk menepis serangan musuh bersama atau kita turut melakukan anjakan paradigma dengan menjadi trollers seperti mereka. Cuma kini kita lebih ke arah mahu berhadapan dengan mereka. Segala troll mereka terhadap musuh ita pun mengiyakan sebagaimana ada orang menyindir pemimpin kerajaan BN terdahulu lalu kita pun turut sama bersorak tetapi apabila troll itu menghala kepada kita (PH) dan pimpinan kita maka bermulalah perang label seperti “Semua fitnah!, Macai BN, Walaun Pas” dan sebagainya. Walhal mereka golongan troller ini hanya troll supaya kita berfikir dan berwaspada bahawa gerak geri kita sentiasa diperhatikan oleh para “semak dan imbang”.
Golongan sebegini sudah wujud lama tapi masih malu alah kerana mereka sepertinya pelajar dalam kelas yang malu untuk bertanya kerana takut dianggap bertanya soalan yang tidak masuk akal. Tetapi dengan adanya media social yang bebas, para pelayar alam siber atau netizen dapat troll sesiapa sahaja yang mereka rasa ada yang tidak kena dengan sistem mereka. Lebih ghairah jika ada satu kumpulan atau halaman media sosial yang menjadi pilihan ramai misalnya Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) dan Suara Rakyat (SR) serta Gerakan Pengundi Sedar (GPS) maka akan disahut dengan disebar secara meluas.
Persoalan bagaimana kita mahu menangani mereka sedangkan mereka sangat suka troll kita menjadi isu hangat dimainkan oleh laskar siber ataupun perang siber milik Pakatan Harapan. Kita mesti memahami permainan mereka terlebih dahulu baru kita dapat fokus untuk memulihkan keadaan. Seterusnya, kerajaan PH juga perlu mengurangkan kelemahan kita yang menjadi sasaran troll semampu boleh misalnya temuramah media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) YB Dato Dr Mujahid Yusof baru baru ini telah disalah tafsir kontek ucapannya mengenai LGBT sehinggakan suasana dingin antara telah berlaku dek kerana ada troll yang mengatakan PH tidak cakna kepada agama Islam.
Penerangan yang lemah lembut serta berhikmah perlu dipratikkan oleh para Menteri PH agar tidak mudah menjadi sasaran para musuh yang hanya menunggu peluang sahaja untuk menyerang pimpinan PH. Jawapan poyo atau klise daripada para Menteri hanya mengundang para troll untuk meneroll anda kerana mereka faham troll adalah cara rakyat kebanyakkan dan anak muda memperbodohkan politikus yang selepas menang pilihanraya cuba memperbodohkan dan menipu rakyat terbanyak. Ini zaman media sosial dunia tanpa sempadan tersilap langkah terima padahnya. Rakyat yang gemar lakukan trolling dan sarkastik perlu faham tidak membina kebaikan kepada diri hakikatnya ia hanyalah bahan untuk nampak kita bijak memanipulasi situasi dan ucapan pimpinan yang mungkin punya kekurangan konteksnya.
Pemimpin PH perlu sedar dan teliti mengenai apa yang mahu diucapkan dan perlu cepat belajar menjadi pemerintah yang kompeten dan komited kepada kerja bukannya masih dibuai tidur lena atas tilam empuk dan minda masih terbawa fikiran pembangkang. Ada beberapa ciri sifat troller di Malaysia antara yang kebiasaan ialah The Sock Puppet Master. Troller ini akan mewujudkan banyak akaun media sosial dan mengupah rakan rakan yang sedia bersubahat untuk menyokong pendapat pendapat yang diutarakan agar dilihat mempunyai majoriti sokongan netizen dan berhujah dengan sebilangan yang berlawanan dengan pendapat mereka.
Watak sebegini sangat bahaya kerana memainkan pelbagai karakter sehingga boleh terjerumus kepada pembunuhan karakter seseorang individu. Kebanyakan mangsa mereka merupakan golongan ternama terutama ahli politik dan pemimpin kerajaan. Troll ini bukan sekadar mempunyai pandangan berbeza tetapi sekadar mengeluarkan komen dengan tujuan untuk menyakiti hati kita. Troll telah menjadikan ramai orang pengecut menjadi berani sebab itu mereka biasanya menyerang orang yang berkuasa atau popular terutama ahli politik supaya mereka rasa lebih hebat. Kaedah yang terbaik untuk menghadapi makhluk sebegini ialah mengabaikan saja kehadiran mereka dalam dunia media sosial ataupun berhujah dengan fakta bukannya emosi seperti mereka. Unit Media para Menteri PH perlu bijak untuk menjawab soalan soalan berdasarkan topik yang dibangkitkan bukannya luar daripada konteks sekaligus hanya menconteng arang ke muka pemimpin kita saja. Jika troll itu berlebihan dan melampaui batas kita boleh melaporkan kepada pihak polis dan mendakwa mereka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Begitulah hukuman di Malayisa, walaupun kerajaan PH mendakwa mereka mengamalkan kebebasan bersuara tapi rakyat Malaysia tidak wajar mengambil kesempatan dengan menfitnah kerajaan PH dengan pelbagai komen jelik. Jika PH melakukan kesalahan, rakyat perlu tegur dengan cara baik bukannya terus troll tanpa usul periksa. Akhir kalam, pimpinan Pakatan Harapan perlu faham perubahan budaya yang melanda umat kita pada hari ini. Tarbiyah akar umbi para pendokong kita untuk menjawab serta membalas hujah para troller perlu diperhebatkan. Tidak semua troll adalah fitnah kadang pastinya ada terselit lawak jenaka dan sindiran sinis supaya kita sebuah kerajaan baharu ini lebih berwaspada. Mereka marhaen tidak mahu kita terbabas seperti terbabasnya musuh kita pada 9 Mei yang lepas.
Rakyat perlu sedar mereka punya akal, akal itu yang menentukan tangan kita untuk memangkah parti mana dan siapa pemimpin kalian pada masa akan datang nanti. Setiap 5 tahun jadi berilah Pakatan Harapan masa untuk memerintah dengan lancar. Rakyat adalah Raja yang sebenar di negara demokrasi “Suara Rakyat Suara Keramat” bak kata Bapa Reformasi kita Dato Seri Anwar Ibrahim. Moga pemimpin utama kita Tun Dr Mahathir dapat berkhidmat dengan baik untuk ibu pertiwi. Kita mahu membina Malaysia Baru yang rakyatnya matang dalam berpolitik dan dalam kehidupan seharian bersama kaum lain yang kita tinggal bawah satu bumbung Negaraku Malaysia.
Oleh: MUHAMMAD ABRAR SADIQ BIN AZIZI
AKTIVIS PEMUDA AMANAH
Muhammad Abrar Sadiq bin Azizi seorang Aktivis Pemuda Amanah berumur 20 tahun lepasan STPM. Ini buah fikiran saya untuk menjadi renungan kepada Pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan kini.
Make Google view image button visible again: https://goo.gl/DYGbub
No comments:
Post a Comment