MUZIUM Padi di Alor Setar merupakan salah satu daripada empat lokasi program bermalam di muzium di Kedah. |
ALOR SETAR 12 Sept. - Pernah dengar momokan kononnya arca di dalam muzium bergerak pada waktu malam?
Atau lebih teruk lagi dikatakan di muzium itu terdapat ‘penunggu’ yang boleh mendatangkan mimpi buruk buat pengunjung terutamanya mereka yang lemah semangat.
Itu antara persepsi yang mahu dilemparkan jauh-jauh daripada generasi muda hari ini.
Sepatutnya perkara sebegitu tidak lagi timbul lebih-lebih lagi ketika muzium pada zaman ini kian jarang dijadikan lokasi mendapatkan maklumat memandangkan terlalu ramai yang beranggapan sedemikian.
Bagi menangkis persepsi negatif itu, Jabatan Muzium Malaysia telah memperkenalkan program bermalam di muzium sejak lebih 10 tahun lalu.
Di negeri ini, empat lokasi dijadikan pilihan iaitu Muzium Kota Kuala Kedah, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Galeri Perdana di Langkawi serta Muzium Padi dekat sini.
Menurut Pengarah Muzium negeri, Suhaidi Shukri, hampir 300 pelajar dari 15 buah sekolah mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan di keempat-empat lokasi tersebut.
“Untuk program di Muzium Padi, seramai 100 orang dari lima buah sekolah mengikuti program ini. Rata-rata mereka kelihatan bersemangat dan teruja untuk mengikuti program yang diaturkan.
“Ini kali kedua program sebegini diadakan di Kedah. Tahun lalu program ini dilaksanakan di Muzium Negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Lima sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahawangsa, Jitra; SMK Bakar Arang, Sungai Petani; SMK Seri Ampang, Kuala Kedah; SMK Tanah Merah, Pendang serta SMK Dato’ Syed Omar dekat sini.
Ditanya mengapa Muzium Padi menjadi pilihan, Suhaidi berkata, lokasi itu terdapat banyak kelebihan selaku Muzium Padi pertama di negara ini dan keempat di dunia.
“Di sini para peserta boleh lebih menelusuri asal-usul nenek moyang mereka selaku orang Kedah. Aktiviti dijalankan juga berkait rapat dengan tradisi mencari rezeki masyarakat Kedah zaman dahulu antaranya menumbuk padi.
“Selain itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan, pelbagai program berkait rapat dengan semangat patriotisme amat ditekankan antaranya penceritaan dan persembahan berkumpulan mengenai sejarah tanah air serta nyanyian lagu-lagu patriotik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui ada dalam kalangan guru dan pelajar yang menyatakan kekecewaan kerana mereka tidak dapat menyertai program berkenaan ekoran tempat yang terhad.
Sementara itu, guru pengiring SMK Tanah Merah, Saliza Said berkata, pelajar-pelajarnya cukup teruja untuk melalui pengalaman tersebut.
“Kesemua 29 orang yang hadir dari sekolah kami menawarkan diri secara sukarela. Tiada seorang pun yang dipaksa kerana masing-masing mahu merasai peluang bermalam di muzium.
“Peluang begini bukan mudah untuk diperolehi. Secara peribadi saya merasakan program ini sangat baik di mana para pelajar berpeluang berinteraksi bersama rakan-rakan baharu dari sekolah lain selain menjalani aktiviti menyeronokkan,” jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kedah/pengalaman-bermalam-di-muzium-1.746490#ixzz5RDjB4NsQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment