Sunday, September 16, 2018

Malaysia bakal jadi kuasa ekonomi baharu

 Anwar Ibrahim
SINGAPURA – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bakal menjadi perdana menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau optimistik yang Malaysia boleh menjadi satu kuasa ekonomi baharu di rantau ini.

Berucap pada majlis S Rajaratnam Endowment Dialogue, di sini, hari ini, Anwar berkata keyakinan tinggi itu adalah bersandarkan kepada “dasar-dasar Malaysia yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang stabil dan bersih.”

“Dengan adanya kedaulatan undang-undang...dan institusi yang demokrasi...saya percaya, Insya ALLAH Malaysia akan muncul sekali lagi sebagai kuasa ekonomi yang menjadi contoh,” katanya.

Dialog tersebut merupakan satu program utama Sidang Kemuncak Singapura 2018 yang diadakan di Shangri-La Hotel di sini.

Turut hadir ialah bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings, Ho Ching.


Sidang Kemuncak Singapura dianjurkan oleh Temasek Foundation Connects dengan sokongan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura, GIC Pte. Ltd, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan dan Industri, Pihak Berkuasa Monetari Singapura dan Temasek.

Menjawab soalan daripada audiens tentang hubungan Singapura-Malaysia, Anwar bertanyakan semula, “ada sebarang masalah ke?”.

“Saya sejujurnya tidak percaya bahawa ada masalah (antara kedua-dua negara),” katanya dan menerima tepukan daripada audiens.

Anwar yang juga merupakan pemimpin de facto kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia turut berjanji:”Sekiranya dan bila saya mengambil alih jawatan perdana menteri, saya akan pastikan negara pertama yang saya lawat adalah Singapura.” - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...