Monday, October 8, 2018

Bukan PU tapi TU..!!!

 http://galaksi-media.com/wp-content/uploads/2016/08/PU-Cover-m-600x360.jpg
Jika kita ini memang benar-benar mahu mencari keredaan tuhan dan bersungguh mahu suci menjalankannya, maka kita tidak akan mahu masuk lumba untuk mengejar pertabalan sebagai pendakwah nombor satu dunia. Misalnya.

Sebagai orang Islam, kita malu apabila kita dibilang orang sebagai penggiat agama, kerana yang paling kenal akan diri kita ialah kita sendiri (selain isteri kita yang tahu kita bangun subuh pukul berapa).

Seperti juga mereka yang dulu pergi berperang apabila Islam terancam. Mereka pertaruhkan nyawa bukan kena mahu digelar syahid.

Bahkan sudah dinyatakan bahawa sesiapa yang mempertahankan agama hanya kerana mahu dipanggil syuhada akan ditempelak tuhan.

Tapi itulah, hari ini kita budak-budak yang akalnya kurang dua puluh lima sen bersaing sesama sendiri untuk merebut gelaran pada pangkal nama.

Ada yang mahu digelar pencetus umah, ada yang ingin dabik dada dipanggil dai di seluruh nusantara dan seumpamanya.

Walhal yang dilahirkan dari semua program lumba dengan nama agama itu hanyalah TU, iaitu Toyol Ummah, yang kerjanya sibuk berbuat onar dan melahiran kegusaran.


Bebal depan TV

Gelaran yang mereka pegang hanya suatu dongeng ciptaan pencari untung, manakala mereka yang berjaya masuk ke pertandingan itu menjadi bangga dengan meletakan gelaran di depan nama mereka.

Sepertinya itulah pencapaian paling tinggi boleh digapai oleh seseorang demi agama. Mereka berpura-pura menyampaikan agama sambil bernyanyi dan bermadah seloka, sedang dalam hati mereka hanya ada laba.

Kita pula bodoh berganda kuasa dua. Kita duduk di depan TV melayan kerenah mereka seolah-olah jika peserta yang kita sokong itu menang, nanti di depan tuhan dia berhak memberi sokongan yang membolehkan kita diberikan jalan mudah ke sorga.

Maka dari program seperti itu lahirlah orang yang dianggap sebagai ahli agama. Mereka dijemput memberi ceramah di merata-rata surau dan masjid. Juga dibawa ke pejabat-pejabat dan sebagainya, selain diminta nasihat tentang agama.



Dengan sedikit bayaran mereka pun dengan senang hati memberi panduan hidup kepada kita. Kita rai mereka seolah-oleh orang itu ialah jelmaan pandai agama pada zaman lalu.

Benar, nasihat yang baik harus didengar walau datang daripada siapa pun, namun malang bagi kita ialah apabila mereka yang dicipta dari program seperti itu menganggap diri mereka adalah jurucakap agama.

Habis semua kejadian di setiap pelusuk bumi dikomennya. Semua jawapan kepada kebejatan alam sejagat kononnya ada dalam tangan mereka.

Tahu oleh mereka yang mana bala dan yang mana balasan. Selalu-selalunya, mereka cenderung menghukum jahat kepada apa sahaja yang berlaku. Seolahnya langsung tidak ada kasih sayang yang tinggal dihati mereka.

Masa menurut agama

Orang lain adalah maksiat belaka. Justeru sesuai benarlah orang lain itu dilaknat. Seperti yang jahat adalah orang lain sedang mereka sendiri berada dalam percutian di dunia ini sambil menunggu masa pulang ke akhirat dan memeluk sejuta bidadari.

Kesalahan paling besar hendaklah diletakkan pada penganjur rancangan adu agamawan ini.

Kamu mungkin mengatakan rancangan-rancangan seperti itu adalah lebih baik daripada mana-mana rancangan yang kamu lihat sebagai maksiat.

Dan kamu katakan bahawa program sedemikian memang sesuai dengan selera masa kini.

Agama tidak mengikut masa, malah masalah yang mengikut agama. Tidak ada keperluan untuk kita membaiki pembawaan dalam beragama hanya kerana masa telah berubah.

Namun jika kamu berasakan bahawa masih ada keperluan untuk membentuk genarasi hari ini degan cara yang mereka gemari, apa salahnya jika diadakan program bahas yang cerdik untuk membincangkan hal-hal agama?

Adakan satu program TV yang benar-benar membincangkan isu-isu dalam beragama dan biarkan mereka berlawan dengan cara yang benar.

Tidak ada perlunya mereka dipakaikan dengan pakaian yang megah dan berucap dipentas meraih undi. Agama tidak memerlukan sensasi.

Malu dengan agama lain

Kita yang berikrar untuk melahirkan genarasi berfikiran tinggi maka bentuk mereka melalui rancangan TV yang berkualiti.

Kamu juga boleh mulakan rancangan kuiz agama dengan pesertanya terdiri daripada remaja-remaja di institusi pengajian tinggi misalnya.

Ustaz dan ustazah yang gemar menebeng muka di kaca TV dalam rancangan sebegini bolehlah dilantik sebagai hakim dan juri atau setidak-tidaknya sebagai penyedia soalan untuk rancang kuiz berkenaan.

Kita tidak mahu mereka rasa ditinggalkan apabila program memperbodohkan budak belajar agama ini dihentikan nanti.

Kita malu bila kita belum lagi mendengar adanya apa-apa rancangan oleh agama lain dalam mencari sang pandai agama mereka.

Belum pernah kami dengar ada pertandingan mencari idola sami misalnya.

Sementara itu kami mengambil peluang ini untuk mengucapkan takziah kepada semua mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi sana.

Juga tidak dilupakan keluarga enam anggota bomba yang terkorban dalam usaha mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke lombong di Puchong itu.

Takziah juga kepada keluarga remaja berkenaan.

Artikel kali ini dihiasi dengan foto dari pameran solo pelukis Marisa R Ng yang berjudul The Secret Garden.

Pameran sedang berlangsung di Galeri Prima sehingga Khamis depan. Semua dijemput hadir.

ABDULLAHJONES ialah pandir agama yang tradiosionalis namun sering disalahertikan sebagai liberalis.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...